Berita Hari Ini

Kerajaan Setuju Kurangkan Yuran Di Universiti Awam – Noraini

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju untuk mengurangkan kadar yuran mahasiswa di universiti awam termasuk bayaran perkhidmatan dan aktiviti sehingga 15 peratus.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambilkira keupayaan kewangan kerajaan dan universiti berkenaan.

Katanya, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) prihatin dengan maklum balas yang diterima daripada pelajar, ibu bapa dan pihak berkepentingan apabila mahu yuran di universiti awam dapat dikurangkan.

“Dalam hal ini, KPT membuat rundingan dan perbincangan bersama Kementerian Kewangan dan hasilnya, kerajaan bersetuju mengurangkan kadar yuran asrama, perkhidmatan dan aktiviti sehingga 15 peratus,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-Hang Tuah Jaya) yang bertanya sama ada kerajaan menyediakan inisiatif bagi mengurangkan yuran pengajian pelajar UA yang terkesan akibat Covid-19.

Noraini menambah, pengurangan yuran bagi semester kedua untuk sesi akademi 2019/2020 pelajar itu adalah membabitkan peruntukan sebanyak RM72 juta.

Jelasnya, daripada jumlah itu, sejumlah RM20 juta dipersetujui bersama Kementerian Kewangan dan baki RM52 juta menggunakan peruntukan dalaman universiti awam menerusi penjimatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Seramai 523,318 pelajar unversiti awam di seluruh negara dijangka mendapat manfaat daripada keputusan ini,” ujarnya.

Pada 27 Mei lalu, Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) meminta KPT mengkaji yuran pengajian semester IPT bagi penuntut yang terkesan akibat Covid-19.

Menurut MPPK, ketika pelaksanaan PKP, hampir 80 peratus penuntut sudah kembali ke rumah masing-masing dan tidak menggunakan sepenuhnya kemudahan di universiti.

Susulan itu, KPT menjalankan kajian bagi mencari kaedah penyelesaian terbaik untuk menyelesaikan isu tersebut. – MalaysiaGazette

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");