Perak Hari Ini

Murid Sedia Kembali Ke Sekolah, Guru Main Peranan Maklumkan SOP Lebih Awal

IPOH- Hari pertama operasi pembukaan semula sekolah bagi murid sekolah rendah jelas menunjukkan rata-rata mereka sudah sedia maklum tentang tatacara dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang perlu dipatuhi.

Tinjauan media di Sekolah Kebangsaan Jelapang, Meru menunjukkan guru-guru dan kaki tangan sekolah juga begitu menitikberatkan isu berkenaan dengan penjarakan sosial.

Guru Besar sekolah, Noor Azman Zainal Abidin berkata, pihaknya telah memaklumkan SOP melalui Telegram rasmi dan masukkan semua maklumat termasuk video simulasi murid-murid masuk ke sekolah.

“Pendekatan sekolah adalah melalui mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) tentang pergerakan masuk ke sekolah dan memaklumkan SOP melalui Telegram rasmi SK Jelapang dan masukkan semua maklumat termasuk video simulasi anak-anak masuk ke sekolah bergerak dengan cara yang betul, duduk di dalam bilik darjah, SOP makan di kantin dalam video simulasi penuh, manakala guru-guru kelas juga mempunyai ‘group whatsapp’ kelas di mana mereka masukkan maklumat sama berulang-ulang kali.

“SOP yang dititikberatkan adalah berkenaan dengan penjarakan sosial, di mana kami membuat penanda jarak sosial satu meter dan kami akan cuba mematuhi cara susunan kerusi meja dan cara membeli makanan di kantin,” katanya.

Hadir sama, Datuk Azizul Kama Abdul Aziz ke sekolah berkenaan bagi menyambut dan menyerahkan pelitup muka kepada murid-murid tahun 5 dan 6 yang hadir pada hari pertama persekolah.

Sementara itu menurut seorang murid Tahun 6, Nur Allisya Naurah Mohammad Azizi, katanya, banyak maklumat tentang SOP telah disampaikan oleh guru-guru dari Facebook dan Whatsapp.

“Hari pertama masuk sekolah hari ini memang gementar sedikit sebab kita sekarang kena jaga SOP dengan normal baharu tetapi di rumah memang ibu sudah terangkan apa yang perlu dilakukan dan cikgu sudah banyak memberi informasi dari Facebook dan Whatsapp group kelas bermula dari minggu lepas.

“Selepas dapat tahu masuk sekolah memang dah sediakan semua, perasaan hari ini dapat jumpa kawan-kawan semua, gembira tetapi takut pun ada kalau terlupakan SOP, tetapi apabila kita ingat semula semua rasa macam tidak ada apa yang perlu kita risaukan jika kita mengikut SOP yang telah ditetapkan,” katanya.

Tambah seorang lagi murid Tahun 6 Muhammad Hakim Suhairi berkata, beliau berasa begitu gembira dan teruja dapat berjumpa cikgu dan kawan-kawan namun berharap agar semua orang dapat ikut SOP yang ditetapkan.

“Rasa pelik sikit sebab kena ikut SOP tetapi nanti akan biasalah juga namun mak ada pesan, jaga jarak, ikut laluan yang sudah ditetapkan, kalau bersin jangan bersin kat orang.

“Jika berbuah dengan rakan, kita bercakap saja tetapi janga dekat-dekat, boleh kekalkan untuk satu hari ini dan boleh jaga jarak semua janji kawan-kawan selamat, kita boleh praktikkan benda tu,” katanya.

Menerusi data Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak, jumlah sekolah yang beroperasi pada 15 Julai 2020 sebanyak 1102 buah sekolah, iaitu 250 buah sekolah menengah dan 852 buah sekolah rendah.

Manakala, jumlah murid yang akan bersekolah pada hari ini pula seramai 230,132 orang murid iaitu sekolah menengah terdiri daripada Kelas Peralihan, Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6 atas seramai 64,225 orang dan murid sekolah rendah Tahun 5 dan Tahun 6 seramai 65,907 orang.

Terdahulu, Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan operasi sekolah bagi pelajar Tingkatan 1 hingga 4, kelas peralihan dan murid Tahun 5 dan 6 akan bermula 15 Julai ini manakala murid Tahun Satu hingga Tahun Empat akan kembali ke sekolah pada 22 Julai ini

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");