Panasnya Hari Ini
Like

PN Harus Segera Cari Formula Agih Kerusi PRU-15 – Rahim Tamby Chik

July 5, 2020
309 Views
0 Comments
2 minutes read
PN Harus Segera Cari Formula Agih Kerusi PRU-15 – Rahim Tamby Chik

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) perlu mencari formula pembahagian kerusi yang adil dan saksama bagi memastikan kemenangan gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Astro Awani melaporkan, Pengerusi Yayasan Penggerak Wawasan (YPW), Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, kesepakatan mengenai pembahagian kerusi adalah asas kukuh yang akan menentukan masa depan PN.

Selain itu, katanya semua pemimpin parti komponen perlu terus komited dengan sokongan supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri selepas PRU-15.

Jelasnya, sekarang adalah masa sesuai untuk membentuk formula pembahagian kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lebih wajar membabitkan semua komponen PN.

“Adalah amat perlu di dalam muzakarah yang akan datang, komponen dalam PN menunjukkan keikhlasan kepada Muhyiddin selaku Presiden dan Pemangku Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Ia asas kejujuran terutama bagi UMNO dan Pas dalam membuat konsesi pembahagian kerusi Parlimen dan DUN pada PRU-15 akan datang.

“Sebagai satu daripada pemain (utama) dalam pasukan PN, Bersatu sewajarnya diperuntukkan sejumlah kerusi yang setaraf dengan posisinya sebagai parti yang menerajui kerajaan PN yang ada sekarang dan akan datang,” katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya, hari ini.

Dalam pada itu kata Rahim, jumlah kerusi yang dimiliki oleh parti komponen PN ketika ini tidak relevan dan tidak boleh dijadikan asas bagi pengagihan kerusi pada PRU-15 nanti.

“Ini disebabkan senario yang berlaku sebelum dan selepas PRU-14 amat berbeza sekali. Risiko politik yang wujud amat sukar diramal malah belum tentu positif seperti yang dicanangkan selama ini.

“Tahniah kepada pemimpin komponen dalam PN yang membuat kenyataan menyokong Muhyiddin serta mahukan beliau menjadi perdana menteri semasa dan selepas PRU-15 jika PN menang.
Ini satu kenyataan politik yang bijak.

“Namun dari segi kompromi kolektif, masih lagi intisarinya kosong bila soal pembahagian kerusi dalam PRU-15 tidak disentuh langsung,” ujarnya.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini menafikan Muafakat Nasional (MN) tidak mempunyai calon berkelayakan untuk diangkat sebagai perdana menteri kerana menyokong pencalonan Muhyiddin bagi mengisi jawatan itu selepas PRU-15.

Beliau menjelaskan, keputusan terbabit dibuat atas dasar kerjasama dalam PN selain penerimaan yang ditunjukkan rakyat terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu sendiri.

Komen & Pendapat

Comments are closed.