Sukan Hari Ini

Saya Buat Ini Demi Masa Depan – Khalid Jamlus

KUALA LUMPUR: Bekas penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus jelas tidak berganjak dengan keputusannya apabila tetap mahu ‘melepaskan’ trofi Kasut Emas yang dimenangi bersama Perak, 18 tahun lalu.

BH Online melaporkan, sekalipun beroleh keputusan positif menerusi pertemuan dengan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal di Putrajaya hari ini, bekas pemain berusia 43 tahun itu menegaskan ia tetap perlu dilakukan demi kelangsungan hidupnya.

Bagaimanapun, hala tuju Kasut Emas itu masih menjadi ‘misteri’ dengan Khalid dilihat cuba menunggu tawaran terbaik untuk anugerah berprestij itu sehingga hujung minggu ini.

“Hala tuju kasut ini masih dibincangkan dan setakat ini, sudah ada bidaan dari Sabah dan Pantai Timur. Kalau tiada mana-mana pihak yang datang dalam minggu ini, contohnya jika Perak mahu kasut ini untuk buat muzium, ambillah tetapi pada nilai yang sewajarnya.

“Apa sangatlah Kasut Emas itu, buruk tetapi nilainya 18 tahun. Pada 2002, saya terpaksa bersaing dengan import gred A ketika itu. Jadi, terpulanglah kepada anda bagaimana untuk menilai kasut itu. Kalau tiada, saya hantar ke Sabah.

“Buat masa ini, saya perlu lepaskan demi kelangsungan hidup saya. Saya tak kisah apa orang mahu cakap sebab saya susah, tiada yang bantu. Saya buat ini demi masa depan saya,” katanya selepas pertemuan dengan Wan Ahmad Fayhsal dan Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed.

Difahamkan, bidaan untuk Kasut Emas itu sudah mencecah RM40,000 walaupun pada mulanya ia dibida pada harga RM10,500.

Mengulas pertemuan bersama Wan Ahmad Fayhsal, Khalid mengesahkan perbincangan berlangsung positif dengan dia memberi memberi bayangan akan kembali terbabit dalam arena bola sepak selepas ini.

“Timbalan Menteri menyuarakan idea untuk saya menyambung kehidupan seterusnya dan saya amat terharu dengan peluang itu. Tetapi saya tidak boleh dedahkan dan kita tunggu pengumuman rasmi nanti.

“Apa yang saya boleh katakan, ini adalah peluang yang terbaik untuk saya pada masa akan datang. Mungkin peluang ini dapat membantu saya untuk jangka masa panjang,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");