Perak Hari Ini

Tiada Lagi Alasan Untuk Sengaja Cuai Solat Jumaat – Timbalan Mufti Perak

IPOH: Tiada lagi alasan untuk yang masih cuai dan meremehkan solat Jumaat tanpa sebarang keuzuran yang dibenarkan oleh syarak.

Tegas Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim, kesemua masjid dan surau di negeri ini telah dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat secara berperingkat, selepas mengambil kira perkembangan terkini COVID-19 serta nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, isu penularan wabak tersebut adalah salah satu keuzuran yang dibenarkan syarak bagi sebahagian besar lelaki muslim untuk tidak menunaikan solat Jumaat untuk beberapa minggu lalu.

Bagaimanapun, ujar beliau situasi terkini telah berubah apabila kesemua surau di negeri ini yang didaftarkan di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dibenarkan untuk melaksanakan solat Jumaat mulai 10 Julai ini.

“Apabila Sultan Perak telah memperkenankan diadakan Solat Jumaat di surau-surau semasa fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), maka menjadi kewajipan ahli jawatankuasa (AJK) kariah untuk berusaha menampung jemaah yang tidak dapat solat Jumaat di masjid atau surau sedia ada.

“Bukan setakat membiarkan surau berkenaan memilih untuk melaksanakan solat Jumaat atau tidak kerana maksud kebenaran tersebut adalah untuk membolehkan semua lelaki muslim dapat bersolat Jumaat setiap minggu.

“Jangan sampai ada dalam kalangan lelaki-lelaki muslim merasa lazat untuk berterus-terusan meninggalkan solat Jumaat sewenang-wenangnya begitu sahaja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya lagi, antara kecuaian dalam meremehkan Solat Jumaat dalam kalangan masyarakat termasuk dengan sengaja tidak pergi menunaikannya walaupun nama tersenarai dalam giliran Solat Jumaat.

“Selain itu, ada dalam kalangan masyarakat sengaja memberikan giliran solat Jumaat kepada orang lain sedangkan tiada keuzuran syarak untuk dirinya.

“Ada juga kecuaian yang sengaja memberikan giliran solat Jumaat kepada orang lain sedangkan tiada keuzuran syarak kepada dirinya,” ujarnya.

Katanya lagi kecuaian sama termasuk tidak berusaha memaklumkan kepada AJK kariah kerana nama tidak tersenarai selain tidak berusaha datang awal ke masjid yang mengamalkan sistem jemaah hadir terawal yang dibenarkan untuk solat.

Sementara itu, Zamri menegaskan bahawa dalil Al-Quran dan Hadis yang sahih sangat jelas menyebut berkaitan syariat Solat Jumaat serta dosa dan ancaman bagi yang meninggalkannya tanpa keuzuran yang dibenarkan syarak.

“Meninggalkan solat Jumaat secara sengaja secara cuai tanpa keuzuran syarak adalah berdosa besar tanpa menunggu sehingga tidak melaksanakannya tiga kali berturut-turut seperti yang difahami oleh sebahagian orang,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");