Berita Hari Ini

Wajib pakai pelitup muka dapat reaksi positif

Arahan mewajibkan penggunaan pelitup muka di kawasan tumpuan umum atau sesak dan di dalam pengangkutan awam mulai 1 Ogos ini, mendapat reaksi positif dalam kalangan masyarakat.

Rata-rata ramai bersetuju dengan arahan berkenaan, yang antara lain disifatkan sebagai langkah tepat bagi membendung penularan COVID-19.

Namun, ada sesetengah pihak menyuarakan keluhan kerana terpaksa berbelanja lebih untuk membeli alat berkenaan tetapi bersedia menggunakan pelitup muka fabrik sebagai alternatif.

Pelajar, Marsha Haniem Yahaya, 22, berkata ia adalah langkah bijak diperkenalkan kerajaan memandangkan bilangan kes COVID-19 mencatatkan peningkatan dari semasa ke semasa.

“Kita terdedah kepada jangkitan (COVID-19) jika tak memakai pelitup muka kerana tidak betul-betul pasti siapa di sekeliling yang menjadi pembawa atau menghidap virus ini.

“Ia secara tak langsung menjadi alat pelindung, selain antara tindakan wajar yang boleh dibuat kerana dunia masih belum berjaya menghasilkan vaksin,” katanya kepada BH, hari ini.

Tinjauan BH di sekitar pusat bandar mendapati pelitup muka pakai buang atau fabrik mudah ditemui, sama ada di farmasi atau kedai serbaneka dengan ia dijual pada kadar berpatutan.

Malah, sesetengah farmasi dan kedai serbaneka turut menawarkan promosi hingga separuh harga bagi sepaket pelitup muka KN95 atau sekotak pelitup muka tiga lapisan.

Sementara itu, penghantar makanan yang hanya ingin dikenali sebagai Muzhafar, 36, menyuarakan keluhan kerana terpaksa berbelanja lebih untuk menyediakan pelitup muka bagi keseluruhan isi rumahnya.

“Ia bukan suatu yang mudah untuk menyediakan pelitup muka bagi lima anak dengan tiga daripadanya masih bersekolah. Tambahan, pendapatan saya tidak menentu dan bergantung sepenuhnya kepada permintaan pelanggan.

“Saya juga masih menunggu harga baharu pelitup muka selepas kerajaan memaklumkan kadar siling diturunkan 30 sen seunit, selain sedia menggunakan pelitup muka fabrik sebagai alternatif,” katanya.

Pesara, Ruzlina Husin, 60, pula berpandangan bahawa kelonggaran bagi pemakaian pelitup muka yang dijahit sendiri mampu mewujudkan industri hiliran membabitkan tukang jahit tempatan.

Penghasilan pelitup muka yang dijahit sendiri perlu mematuhi spesifikasi ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan akan diumumkan Kementerian Kesihatan kemudian.

“Ini akan memberi pendapatan tambahan kepada tukang jahit atau mana-mana individu yang boleh menghasilkannya. Tambahan, ramai yang terjejas akibat pandemik COVID-19 dan kehilangan kerjaya masing-masing.

“Kelonggaran ini memberi alternatif kepada masyarakat untuk tidak terlalu bergantung kepada pelitup muka standard perubatan, selain memberi peluang pekerjaan kepada golongan berkaitan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");