Perak Hari Ini

Buktikan OKU Juga Ada Kelebihan – Norfarrah Syahirah

IPOH: Selepas mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan, Norfarrah Syahirah Shaari, 32, mendapat pengiktirafan di peringkat negeri apabila dipilih sebagai penerima Anugerah Wira Belia COVID-19, Wira Tidak Didendangkan Negeri Perak, malam tadi.

Norfarrah Syahirah adalah orang kurang upaya (OKU) yang menjahit menggunakan kaki serta menyumbang tenaga dengan menjahit pakaian perlindungan diri (PPE), biarpun tidak mempunyai kedua belah tangan.

Anugerah disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Khairul Shahril Mohamed yang mewakili Menteri Besar pada Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri di Kompleks Belia dan Sukan Perak, di sini.

Ketika ditemui pemberita, Norfarrah Syahirah berkata tidak menyangka menerima anugerah yang julung kali diwujudkan itu.

Pembantu Tadbir di Kolej Komuniti Teluk Intan itu berkata anugerah yang diterimanya itu dapat membakar semangatnya untuk terus berjaya selain berharap mampu memberi inspirasi kepada belia yang lain.

{“uid”:”BA89BC46-CB43-4BF2-90BE-3A2C229B430C_1597853275661″,”source”:”other”,”origin”:”gallery”}

“Semua insan ada kelebihan masing-masing dan seperti saya, kelebihan saya adalah pada kaki saya.

“Oleh itu, saya sentiasa berbuat sesuatu yang mampu memberi inspirasi kepada masyarakat. Saya mahu buktikan walaupun OKU, golongan kami juga boleh memberi sumbangan kepada petugas barisan hadapan,” katanya.

Selain itu beliau turut berharap agar golongan OKU di luar dapat terus tidak berputus asa dan sentiasa berusaha membuktikan kepada masyarakat bahawa OKU juga ada kelebihan.

Pada masa sama, penerima Johan Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri, Mohd Faqrul Redza Tahiruddin, 35, ketika ditemui turut bersyukur atas anugerah tersebut.

Jurutera Lembaga Air Perak (LAP) itu aktif dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan termasuk pernah menjawat jawatan Ketua Penerangan MBN Perak serta Ahli Majlis Perundingan Belia Negeri.

“Saya menyeru agar para belia di negeri ini dapat bersama-sama berganding bahu dan menyumbang fikiran dalam memastikan kesejahteraan bersama,” ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");