Berita Hari Ini
Like

Covid-19: Catat 20 Kes Baharu, Satu Lagi Kluster Dikesan Di Kedah

August 14, 2020
267 Views
0 Comments
1 minute read
Covid-19: Catat 20 Kes Baharu, Satu Lagi Kluster Dikesan Di Kedah

KUALA LUMPUR: Jangkitan baharu Covid-19 dalam negara melonjak hari ini dengan merekodkan 20 kes menjadikan jumlah kumulatif kes keseluruhan penularan wabak itu sebanyak 9,149 kes.

Harian Metro melaporkan, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 20 kes baharu itu, 13 kes membabitkan penularan tempatan di dalam negara, baki tujuh kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Kes baharu Covid-19 hari ini meningkat kepada 20 kes termasuk 11 kes daripada Kluster Tawar di Baling, Kedah. Satu lagi kluster baharu dikesan, Kluster Muda, juga di Kedah.

“Daripada 11 kes baharu daripada Kluster Tawar hari ini, lima kes adalah petugas hospital dan seorang lagi pesakit yang pernah ditempatkan sebilik bersama kes pertama kluster ini. Selebihnya ahli keluarga dan majikan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan ada tujuh kes pulih dan dibenarkan discaj hari ini dengan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya daripada Covid-19 sebanyak 8,828 kes, 96.49 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau berkata, daripada keseluruhan 9,149 kes kumulatif Covid-19 di Malaysia, kes aktif dan kebolehjangkitan sebanyak 196 kes.

“Sehingga kini, empat kes positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan satu lagi memerlukan bantuan pernafasan.

“Tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini, justeru jumlah kumulatif kes kematian dalam negara kekal sebanyak 125 kes, 1.37 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Komen & Pendapat

Comments are closed.