Berita Hari Ini

COVID-19: Tujuh Kes Baharu Libatkan Empat Import, Tiga Penularan Dalam Negara

KUALA LUMPUR – Kes positif COVID-19 hari ini kembali ke angka satu dengan mencatatkan tujuh kes baharu, dengan empat kes import manakala tiga lagi penularan dalam negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini menjadikan jumlah kes positif adalah 9,219 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 192 kes.

Beliau berkata kesemua tujuh kes baharu itu melibatkan tiga kes tempatan di Kedah iaitu dua daripada Kluster Sala dan satu kes Kluster Tawar.

“Empat kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara pula melibatkan dua warganegara tempatan dan dua bukan warganegara yang masing-masing tiga kes dari Bangladesh dan satu kes dari United Kingdom,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan COVID-19 hari ini, lapor Bernama.

Dr Noor Hisham berkata terdapat 26 kes yang telah pulih daripada wabak itu pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya sebanyak 8,902 kes (96.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Katanya, sehingga kini terdapat lapan kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan dua kes memerlukan bantuan pernafasan.

Menurut Dr Noor Hisham tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 direkodkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian di Malaysia kekal 125 kes.

Memperincikan mengenai Kluster Tawar, beliau berkata dengan penambahan kes baharu itu menjadikan mereka yang dikesan positif COVID-19 bagi kluster itu adalah sebanyak 47 kes.

“Sehingga 12 tengah hari ini, seramai 1,490 orang telah disaring dalam kluster ini iaitu 1,195 individu disaring di Kedah dengan 40 kes dikesan positif, 858 kes negatif dan 297 individu masih menunggu keputusan.

Di Pulau Pinang, seramai 286 disaring iaitu tujuh kes dikesan positif, 216 individu negatif dan 63 individu masih menunggu keputusan manakala di Perak pula sembilan individu disaring yang kesemuanya negatif,” katanya.

Sementara itu, bagi Kluster Sala pula, dua lagi individu dilaporkan positif, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak lapan kes.

Katanya, seramai 635 orang telah disaring dalam kluster itu membabitkan 629 individu disaring di Kedah, lapan kes dikesan positif, 479 individu negatif dan 142 individu masih menunggu keputusan, sementara di Pulau Pinang pula enam individu disaring dengan empat individu negatif dan dua individu masih menunggu keputusan.

Mengulas lanjut mengenai punca jangkitan Kluster Tawar dan Kluster Sala, Dr Noor Hisham berkata hasil siasatan ke atas kes-kes positif mendapati bahawa penularan jangkitan dalam kluster berkenaan telah disumbang oleh beberapa faktor umum.

“Penularan jangkitan dalam Kluster Tawar didapati disumbang oleh perhimpunan dalam kalangan ahli keluarga yang tidak sepenuhnya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

“Misalnya, kapasiti tetamu perhimpunan tidak mengikut saiz ruang dan penjarakan fizikal yang selamat antara satu sama lain. Ini membantu penularan yang meluas dalam kluster ini, meskipun kes indeks dan punca sebenar jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.

Bagi Kluster Sala pula, katanya, kes indeks mempunyai sejarah menziarahi pesakit di sebuah hospital bersama beberapa ahli keluarga beliau.

“Walaupun tiada kes positif COVID-19 yang dikesan daripada saringan di hospital tersebut, namun begitu kesemua ahli keluarga yang telah pergi bersama kes indeks untuk menziarahi pesakit tersebut telah dikesan positif,” katanya.

Beliau berkata jangkitan wabak itu seterusnya telah merebak kepada kontak-kontak rapat kes indeks dan ahli keluarga.

“Dikhuatiri amalan melawat hospital mungkin menyumbang kepada penularan jangkitan memandangkan di hospital terdapat banyak pesakit dan mengundang risiko jangkitan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata kemungkinan besar penularan jangkitan dalam kedua-dua kluster dapat dibendung sekiranya amalan 3S dapat dilaksanakan oleh semua pihak, iaitu elakkan tempat yang sesak, sempit dan elakkan sembang dengan jarak yang dekat.

“Sekiranya mempunyai keperluan mendesak untuk menziarahi pesakit di hospital, pastikan langkah berjaga-jaga diamalkan pada setiap masa seperti pastikan pemakaian alat pelitup muka sepanjang tempoh menziarahi dan pastikan penjarakan fizikal yang selamat iaitu sekurang-kurangnya 1 meter dari pesakit atau individu yang bergejala selain amalan kebersihan kendiri seperti membasuh tangan dengan air dan sabun atau pensanitasi tangan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");