Berita Hari Ini

Tok Mat Cadang Kerajaan Perkenal Cukai Kekayaan, Warisan Harta Bantu Pulih Ekonomi

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan bagi memulihkan semula ekonomi negara pasca Covid-19 termasuk mempertimbangkan pengenalan cukai kekayaan dan cukai warisan harta.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu berkata, inisiatif mempertimbangkan cukai kekayaan dan cukai warisan harta adalah penting bagi mengatasi kejatuhan dalam hasil cukai.

Katanya, kedua-dua cukai itu dapat membantu mengatasi masalah kesenjangan kekayaan selain penyediaan inisiatif pelepasan cukai individu khas “one-off” serta pertimbangan cadangan pengurangan sementara cukai korporat.

“Kerajaan Malaysia perlu mempertimbangkan cadangan pengurangan sementara cukai korporat, terutama untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Untuk meringankan beban cukai ke atas rakyat paling terkesan, pelepasan cukai individu khas ‘one-off’ sebanyak jumlah berpatutan perlu dipertimbangkan untuk pembayar cukai dalam banjaran pendapatan bercukai rendah dan menengah.

“Kerajaan juga patut mempertimbangkan cukai kekayaan dan cukai warisan harta bagi mengatasi kejatuhan dalam hasil cukai,” katanya melalui hantaran di Facebook rasminya hari ini.

Beliau mengulas laporan ekonomi Malaysia menguncup 17.1% pada suku ke-2 tahun ini akibat langkah pembendungan ketat bagi mengawal pandemik Covid-19.

Mohamad berkata, walaupun penyusutan ekonomi kali ini paling buruk sejak 1998, namun ekonomi Malaysia mula memaparkan tanda awal pemulihan sejak Mei berikutan pembukaan perniagaan secara beransur-ansur memetik FMT.

Katanya, prospek pemulihan berbentuk lekuk V disokong peningkatan semula penunjuk utama seperti perdagangan borong dan runcit, perbelanjaan kad kredit, pengeluaran perindustrian, indeks pengurus pembelian (PMI) perkilangan dan eksport kasar.

“Berita ini memberikan harapan optimistik kepada rakyat Malaysia. Struktur ekonomi negara masih berdaya tahan. Persekitaran perniagaan masih berdaya maju. Rakyat Malaysia masih berdaya saing.

“Namun, kita perlu mengamalkan kesederhanaan dan kebijaksanaan dalam menyeimbangkan agenda pembendungan penularan wabak dan usaha pemulihan ekonomi. Langkah pencegahan sedia ada perlu tidak terlalu ketat sehingga proses pemulihan ekonomi terbantut,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu turut mencadangkan kerajaan mempertimbangkan cadangan pembukaan semula sempadan antarabangsa secara berperingkat dan teratur.

Selain itu, beliau menegaskan kerajaan perlu mengajak negara anggota ASEAN meningkatkan kerjasama ekonomi serantau untuk memacu pemulihan ekonomi bersama.

“Pembukaan sempadan antarabangsa akan menfasilitasikan perdagangan antara negara terlibat yang akhirnya akan mewujudkan limpahan ekonomi ke pelbagai sub sektor.

“(Negara) ASEAN pula perlu merangsang ekonomi serantau dengan mengurangkan sekatan perdagangan dikenakan semasa pandemik serta berusaha memuktamadkan perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

“Langkah menghidupkan semula ekonomi di atas bersama dengan keberkesanan rangsangan ekonomi akan menjadi kunci utama dalam memastikan ekonomi Malaysia dipulih dan dilonjakkan secepat mungkin,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");