Panasnya Hari Ini

Guan Eng, Li Koon Mengaku Tidak Bersalah Tuduhan Rasuah

Lim Guan Eng

BUTTERWORTH – Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan rasuah.

Bernama melaporkan Lim, 60, dan Phang, 48, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Lim didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi Lembaga Tawaran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), telah menggunakan kedudukan untuk suapan, iaitu wang berjumlah RM372,009 bagi isterinya Betty Chew Gek Cheng melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd.

Lim didakwa melakukan kesalahan itu dengan cara mengambil tindakan memastikan syarikat Magnificent Emblem Sdn Bhd ditawarkan Jemputan Cadangan Perkampungan Pekerja di Lot 631, Mukim 13, Juru, Seberang Perai Tengah dan Sebahagian Lot 282, Mukim 13, Batu Kawan, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang bernilai RM11,610,000 yang Chew secara tidak langsung mempunyai kepentingan.

Ahli Parlimen Bagan itu dituduh melakukan kesalahan tersebut antara 19 Ogos 2013 dan 3 Mac 2016, di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, di George Town, Pulau Pinang.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Phang pula didakwa telah bersubahat dalam pelakuan kesalahan oleh Lim dalam melakukan perbuatan itu di tempat dan tarikh sama dan boleh dihukum di bawah seksyen dan hukuman sama.

Chew, 56, pula mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah RM372,009 daripada sebuah syarikat ke akaun bank miliknya.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan, wanita itu didakwa telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram, dengan menerima wang masing-masing berjumlah RM87,009; RM180,000 dan RM105,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd yang telah dimasukkan ke dalam akaun Public Bank Berhad miliknya.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu pada tarikh berbeza antara 7 Okt 2013 dan 4 Ogos 2014, 3 Sept 2014 dan 11 Ogos 2015 serta pada 4 Sept 2015 dan 3 Mac 2016 di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melaka Raya, Melaka.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");