Berita Hari Ini
Like

Negara Catat Lebihan Akaun Semasa RM7.6 Bilion

August 14, 2020
223 Views
0 Comments
3 minutes read
Negara Catat Lebihan Akaun Semasa RM7.6 Bilion

PUTRAJAYA – Imbangan Akaun Semasa Malaysia (CAB) mencatat lebihan sebanyak RM7.6 bilion pada suku kedua tahun ini walaupun negara berdepan ketidaktentuan ekonomi global dan penularan berterusan wabak Covid-19.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, lebihan CAB disumbangkan terutamanya oleh eksport bersih barangan sebanyak RM25.9 bilion dan defisit lebih rendah dalam pendapatan sekunder pada RM1.9 bilion.

“Import barangan turun pada kadar yang lebih pantas berbanding dengan penurunan eksport, mendorong kepada prestasi yang baik dalam keseluruhan akaun barangan.

“Di samping itu, pendapatan sekunder mencapai defisit terendah kerana jumlah pekerja asing menurun pada suku ini yang menyebabkan kiriman wang ke luar negara yang lebih rendah,” katanya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.

Hari ini, Jabatan Perangkaan Malaysia menerbitkan Statistik Imbangan Pembayaran Suku Tahun Kedua 2020 yang memaparkan transaksi ekonomi antarabangsa antara Malaysia dengan negara lain di dunia.

Mohd Uzir berkata, bagi separuh tahun pertama 2020, CAB berkurang kepada RM17.1 bilion berbanding RM31.3 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Beliau sebaliknya berkata, akaun perkhidmatan mencatatkan defisit tertinggi yang pernah direkodkan pada RM12.5 bilion.

“Komponen perjalanan yang merupakan tulang belakang akaun perkhidmatan terjejas teruk pada suku ini dengan mencatatkan defisit RM3.1 bilion berikutan penutupan sempadan negara bagi warga asing dan sekatan pergerakan merentasi sempadan.

“Selain itu, eksport penumpang udara jatuh mendadak kepada RM30.0 juta daripada RM2.4 bilion pada suku kedua tahun lalu,” ujar beliau.

Sementara itu, komponen telekomunikasi, komputer dan maklumat menunjukkan prestasi yang baik pada suku ini di mana eksport meningkat kepada RM3.3 bilion disebabkan lonjakan permintaan antarabangsa terhadap perkhidmatan rangkaian tetap dan mudah alih yang disediakan oleh syarikat telekomunikasi tempatan.

ÔÇťAkaun kewangan terus mencatat aliran keluar bersih RM19.8 bilion pada suku kedua tahun ini. Penyumbang utama adalah pelaburan lain dengan aliran keluar bersih RM41.3 bilion daripada aliran masuk bersih RM22.1 bilion pada suku pertama 2020.

“Ini terutamanya disebabkan oleh pinjaman antara bank bersih ke luar negara oleh sektor kewangan domestik,” kata Mohd Uzir.

Selain itu, jelas beliau, pelaburan portfolio mencatat aliran masuk bersih yang lebih tinggi disebabkan oleh penerbitan bon oleh syarikat domestik.

“Pelaburan Langsung Asing (FDI) berkurang kepada RM2.2 bilion daripada RM6.4 bilion pada suku sebelumnya disebabkan oleh pelaburan yang lebih rendah dalam sektor Pembuatan.

“FDI pada suku ini dicatatkan terutamanya dari Netherlands, Kepulauan Virgin British dan Singapura dalam Perlombongan dan Pengkuarian, Kewangan dan Utiliti,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, Pelaburan Langsung Di Luar Negeri (DIA) berkembang kepada RM3.5 bilion dan destinasi utama DIA adalah Indonesia, Kanada dan United Kingdom disalurkan ke Kewangan, Pembuatan dan Maklumat dan komunikasi.

Katanya, kedudukan Pelaburan Antarabangsa Malaysia (IIP) mencatat kedudukan aset bersih yang lebih tinggi iaitu RM57.3 bilion daripada RM27.1 bilion pada suku sebelumnya.

Rizab antarabangsa berada pada RM443.0 bilion berbanding RM440.0 bilion pada suku sebelumnya.

Komen & Pendapat

Comments are closed.