Berita Hari Ini

Patuhi piawaian urus bahan kimia elak tragedi Beirut

Tarikh 4 Ogos pastinya kekal dalam ingatan penduduk Lubnan khususnya di Beirut akibat insiden letupan berskala besar membabitkan lebih 2,700 tan bahan kimia ammonium nitrat. Anggaran kekuatannya bersamaan letupan 1,500 tan TNT yang turut mengingatkan kita kepada peristiwa pengeboman di Hiroshima.

Tragedi yang berlaku di pelabuhan Beirut itu yang direkodkan beberapa pakar daripada Universiti Sheffield, United Kingdom (UK) sebagai antara letupan bukan nuklear paling besar dalam sejarah.

Agensi Pemantauan Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan letupan terbabit menghasilkan gegaran kuat bermagnitud 3.3 skala Richter yang meninggalkan kawah sedalam 43 meter.

Lebih menyedihkan, letupan itu memberi kesan teruk terhadap penduduknya dengan 177 terkorban dan ribuan mangsa cedera, manakala ramai lagi masih belum dijumpai. Tragedi itu krisis terburuk sejak perang saudara yang meletus di Lubnan sebelum ini.

Impak serius dari segi ekonomi dan krisis kemanusian dijangka akan mula menyelubungi Lubnan pada masa terdekat. Tentunya peristiwa yang berlaku harus diambil pengajaran termasuk dalam aspek keselamatan pengurusan bahan kimia.

Mengikut rekod, ammonium nitrat digunakan secara meluas sebagai bahan asas dalam industri pertanian seperti dalam pembuatan baja dan digunakan sebagai peledak lombong.

Ini bukan kali pertama tragedi letupan berpunca daripada stor penyimpanan ammonium nitrat. Pada 2015, letupan di Tianjin, China mengorbankan 165 nyawa, manakala letupan di Ryongchon, Korea Utara pada 2004 mengorbankan 160 nyawa.

Sebelum itu, letupan di Galveston Bay, Texas, Amerika Syarikat (AS) pada 1947 mengorbankan 581 nyawa dan letupan di Oppau, Jerman pada 1912 mengorbankan hampir 600 nyawa. Semuanya berpunca sumber bahan kimia sama, iaitu ammonia nitrat.

Pihak berkuasa tempatan dan pakar antarabangsa masih lagi berdebat mengenai punca letupan besar di Beirut. Terdapat pelbagai kemungkinan membolehkan keseluruhan ammonium
nitrat tersimpan di pelabuhan itu meledak, termasuk dakwaan berlaku kebakaran kawasan stor berhampiran yang menyimpan mercun. Terdapat juga dakwaan letupan berpunca tindakan sabotaj dan dilakukan pengganas.

Daripada laporan awal diterima, tragedi ini berkemungkinan berlaku berpunca daripada pengurusan penyimpanan bahan kimia berbahaya yang tidak mengikut piawaian dan mengabaikan langkah perlindungan keselamatan. Di Beirut, ribuan tan ammonium nitrat disimpan sejak 2013 lagi yang dikeluarkan daripada sebuah kapal yang mengalami masalah.

Bahan terbabit tersadai di pelabuhan Beirut pada masa lama. Justeru, pelbagai perkara boleh berlaku terhadap bahan berbahaya berkenaan termasuk bertindak balas dengan bahan lain dan juga potensi berlaku kebocoran tangki atau bekas penyimpanan.

Dalam konteks pengurusan, setiap bahan kimia mempunyai kaedah khas dikhususkan dalam setiap proses pembungkusan, pengangkutan dan penyimpanan. Terdapat juga kaedah kawalan keselamatan dan kaedah rawatan sekiranya berlaku kemalangan membabitkan bahan kimia berkenaan. Data setiap bahan kimia seperti komposisi, kestabilan dan kereaktifan terkandung dalam rekod safety data sheet (SDS).

Secara umumnya terdapat banyak peraturan dan piawaian dijadikan amalan di seluruh dunia dalam memastikan keselamatan pengurusan bahan kimia berbahaya. Bagi industri perkapalan, iaitu pengangkutan air terbesar membabitkan pelabuhan, kandungan barangan diangkut kapal kargo perlu mematuhi kod International Maritime Dangerous Good (IMDG).

Barangan diangkut menggunakan kapal tidak mematuhi kod IMDG tidak dibenarkan diturunkan daripada kapal dan harus disimpan di atas kapal sahaja. Bagi ammonium nitrat, ia bahan dikawal di bawah kod IMDG.

Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) berpangkalan di Geneva juga mengeluarkan garis panduan bagi keselamatan pelabuhan, Safety and Health in Ports, ILO Code of Practice. Setiap pelabuhan juga mempunyai peraturan keselamatan tersendiri yang perlu diguna pakai.

Berdasarkan kod UN NO 0222 di bawah IMDG, ammonium nitrat tidak boleh diturunkan daripada kapal sekiranya ammonium nitrat dibawa mengandungi lebih daripada 0.2 peratus jisim bahan mudah terbakar, termasuk sebarang bahan organik dan lain-lain. Larutan ammonium nitrat pekat dan panas juga tidak dibenarkan mengikut kod UN NO 2426.

Bagi industri penerbangan terutama membabitkan kargo, peraturan membabitkan bahan kimia berbahaya terkandung jelas dalam International Civil Aviation Organization (ICAO) Dangerous Good and Prohibited Items dan juga dalam Dangerous Good Regulations di bawah International Air Transport Association (IATA).

Bagi penggunaan bahan kimia di industri, peraturan Control of Industrial Major Incident Hazards (CIMAH) perlu dipatuhi. Di negara ini, CIMAH dikuat kuasa dan dipantau Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP). Peraturan ini turut memberikan panduan kepada pengilang industri membabitkan pemprosesan, penggunaan, pengeluaran atau penyimpanan bahan berbahaya jika membabitkan kuantiti melebihi jumlah dibenarkan.

Selain itu, JKKP juga mengeluarkan garis panduan dan peraturan berkaitan penyimpanan bahan kimia berbahaya dalam gudang atau dikenali sebagai Guidelines On Storage of Hazardous Chemicals: A Guide For Safe Warehousing Of Packaged Hazardous Chemicals diwartakan pada 2005.

Tragedi letupan di Beirut ini seharusnya diambil iktibar bagi pengurusan penyimpanan bahan kimia secara skala besar di negara kita terutama di kawasan pelabuhan dan perindustrian. Penyimpanan bahan kimia berbahaya perlulah diuruskan dengan amalan paling baik dan mematuhi semua piawaian ditetapkan.

Pemantauan dan penguatkuasaan juga mesti dilakukan dengan kerap dan teratur dalam semua aspek prosedur operasi standard (SOP).

Harus diingatkan, bukan hanya mereka yang berada dalam industri, tempat kerja, pelabuhan dan pengangkutan udara sahaja perlu menguruskan bahan kimia berbahaya dengan betul. Kita di rumah juga seharusnya mengamalkan prosedur keselamatan. Contohnya, penyembur aerosol (pembunuh nyamuk dan cat) tidak boleh diletakkan berhampiran sumber api seperti dapur kerana ia juga akan menyebabkan letupan dan kebakaran di rumah.

Tuntasnya, undang-undang dan peraturan khas bagi pengurusan bahan kimia berbahaya sudah lengkap dan tersusun rapi. Bagaimanapun, pematuhan dan penguatkuasaan berkesan perlu diperkasakan.

Jika semua pihak mengambil berat perkara ini bermula awal dan masing-masing tidak bersikap lepas tangan, tragedi sebesar letupan di Beirut mungkin boleh dielakkan dari awal.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");