Berita Hari Ini

Penduduk Napoh Rayu Bantuan Makanan, Bekalan Roti Habis

KUBANG PASU: Penduduk sekitar Napoh terutama yang berpendapatan rendah, berharap kerajaan menyalurkan bantuan makanan kerana mereka tidak dapat bekerja susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO) di pekan itu.

Tinjauan mendapati, rata-rata mereka yang bekerja sebagai penoreh dan petani terpaksa akur dengan arahan TEMCO dan terpaksa menjalani kuarantin di rumah selepas dipakaikan gelang merah jambu.

Penduduk, Bunga Ali, 56, berkata dia berharap bantuan makanan asas dapat diberikan selepas hanya bergantung kepada gaji suami sebanyak RM1,200 sebulan.

“Kami sekeluarga sudah dipakaikan gelang merah jambu, suami hanya menjadi tukang kebun di kilang dan gajinya diguna menanggung dua anak yang masih bersekolah sebelum berlaku wabak COVID-19.

“Suami pula antara kontak rapat kerana pernah singgah membeli makanan di restoran nasi kandar di Napoh. Kami ada membeli bekalan makanan untuk keluarga tetapi tidak pasti sama ada ia cukup selama dua minggu atau tidak,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini lapor BH Online.

Bunga yang mula memakai gelang merah jambu hari ini, berkata dengan sumber kewangan yang terhad, dia sangat berharap kerajaan menyalurkan bantuan bagi meringankan beban mereka sekeluarga.

Seorang lagi penduduk, Azlina Ibrahim, 45, berkata suaminya hanya berkerja sebagai penoreh, selain mengusahakan sawah dengan pendapatan kira-kira RM800 sebulan.

“Kami ada beli stok makanan, tetapi tak banyak dan sekarang sumber pendapatan suami terputus, saya harap kerajaan lihat nasib kami dan empat anak yang masih bersekolah.

“Jika perintah TEMCO ini disambung lagi selepas ini, ia akan memberi kesan besar buat keluarga saya,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di kedai runcit sekitar Napoh mendapati kebanyakan bekalan roti kehabisan sejak semalam lagi.

Peniaga, Sri Thran Nadaraja, 38, berkata permintaan terhadap roti meningkat selepas terdapat berlaku penularan COVID-19 daripada Kluster Sivagangga.

“Sudah beberapa hari pembekal tidak hantar roti apabila ada antara pemandu lori turut dikuarantin sedangkan permintaan terhadap roti semakin meningkat kerana ramai penduduk tidak dapat keluar ke mana-mana.

“Bekalan barang keperluan lain di kedai saya mencukupi kerana tiada belian panik dilakukan penduduk, lagipun hanya ketua keluarga dibenarkan keluar membeli bekalan makanan,” katanya.

Kelmarin, kerajaan mengumumkan pelaksanaan TEMCO di empat mukim iaitu Mukim Hosba, Mukim Ah, Mukim Binjal (Padang Terap) dan Kampung Ulu, Padang Sanai (Padang Terap) susulan penularan wabak COVID-19.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");