Berita Hari Ini

PKPP: Anak VIP Ditahan Di Kelab Malam, Polis Nafi Ada ‘Double Standard’

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia mengesahkan seorang anak kenamaan atau VIP ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sebuah kelab malam di Jalan Rahim Kajai 14, Taman Tun Dr Ismail di sini.

Penahanan itu dilakukan pada 22 Ogos lalu, kira-kira jam 1.20 pagi melalui satu operasi diadakan pihak polis.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata mengesahkan penahanan itu sekali gus membuktikan pihak polis tidak mengamalkan ‘double standard’.

“Kami tidak sesekali berkompromi dengan mana-mana individu termasuklah anak VIP yang didapati melakukan kesalahan melanggar PKPP dan mereka sudah dikenakan tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi, lapor BH Online.

Mengulas operasi itu, Mazlan berkata, seramai 20 lelaki dan sembilan wanita tempatan ditahan kerana berada di premis hiburan itu melebihi had masa dibenarkan dalam tempoh PKPP.

Katanya, pihaknya juga menahan seorang lelaki berusia 37 tahun dipercayai pengurus premis, selain seorang lelaki warga Bangladesh dan tiga wanita Filipina yang disyaki pekerja di situ.

“Keempat-empat pekerja warga asing itu ditahan reman selama 14 hari bermula 22 Ogos sehingga 4 September, manakala 29 pelanggan warga tempatan berusia antara 21 hingga 48 tahun dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut turut mendapati premis itu dibuka tanpa lesen perniagaan sah di sisi undang-undang.

“Polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 bagi kesalahan pemilik premis menggaji warga asing dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963, Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Seksyen 76 Akta Eksais 1976 dan Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan),” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");