Panasnya Hari Ini

PRN Sabah: WARISAN Dan Sekutu Sedia Menang Demi Kestabilan Politik

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan sekutunya bermatlamat memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 26 September ini bagi memastikan kestabilan politik di negeri itu.

BH Online melaporkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata pihaknya bersedia dari segi rundingan pengagihan kerusi dan calon yang boleh membawa kemenangan untuk parti.

“Apa yang penting untuk kita memenangi PRN ini adalah untuk memastikan kestabilan politik supaya dapat mempertingkatkan ekonomi dan menarik pelaburan asing di Sabah.

“Sebenarnya saya amat berat hati untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi keadaan yang berlaku disebabkan beberapa tekanan yang diterima.

“Di samping itu, daripada saya serahkan kuasa kepada mereka, lebih baik rakyat yang menentukan siapa yang berkuasa di Sabah,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Skim Pinjaman Mikro dan Skim Pinjaman Industri Kecil & Sederhana (IKS) di bawah Pakej Bantuan Covid-19 Kerajaan Negeri Sabah serta Penyampaian Dividen kepada Kerajaan Negeri bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Mohd Shafie berkata kerajaan negeri membeli 10 juta pelitup muka untuk diberikan kepada pengundi yang tidak mempunyai pelitup muka pada hari mengundi nanti.

Beliau berkata Sabah Command Centre juga akan memainkan peranan dengan mengambil tindakan sewajarnya terutamanya dalam usaha mengelak penularan wabak COVID-19 ketika berkempen nanti.

Mengulas kenyataan Ketua Penerangan PKR Sabah, Simsudin Sidek yang bertegas menggunakan logo parti sendiri untuk menghadapi PRN, Mohd Shafie menyerahkan kepada pertimbangan kepemimpinan parti itu.

“Itu terserah pada mereka. Kita tidak memaksa. Kita juga telah berbincang mengenainya di mana jika boleh menggunakan satu logo, bertanding di bawah satu jenama adalah lebih baik.

“Tetapi jika mereka menolak, itu terserah pada mereka. Kita tidak memaksa mereka,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");