Perak Hari Ini

Semarakkan Kemerdekaan Secara Maya Walaupun Berdepan Covid-19

IPOH- Sambutan Hari Kebangsaan yang ke-63 pada tahun ini mencatatkan kelainan di mana aktiviti perhimpunan termasuk acara perbarisan yang berlansung secara tahunan dilarang sama sekali.

Penularan wabak Covid-19 mendesak kerajaan mengambil tindakan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac lalu sehingga perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang tamat pada 31 Ogos nanti.

Ekoran dari sambutan Hari Kebangsaan yang jatuh pada hari terakhir PKPP nanti, rakyat Malaysia digalakkan untuk menzahirkan semangat patriotisme melalui media sosial.

Jika dilihat menerusi media sosial Twitter, rata-rata pengguna Twitter dari Malaysia menggunakan gambar profil berlatar belakangkan Jalur Gemilang dan menggunakan simbol Jalur Gemilang pada nama masing-masing.

Seorang pengguna Twitter @nobisha dilihat mengajak lebih ramai pengguna lain untuk turut sama mengibarkan Jalur Gemilang di Twitter dengan mengajarkan cara-cara menukar nama dengan meletakkan bendera negara pada nama masing-masing.

Sementara itu kata pengguna Twitter lain, @drrofaizal, beliau percaya dengan saranan tersebut akan ada ribuan bendera yang berkibar di laman media sosial tersebut.

“Mungkin orang kurang kibar bendera Malaysia di luar. Tapi saya percaya ribuan bendera Malaysia sedang dikibarkan dalam sosmed cthnya twitter,” katanya.

Bukan itu sahaja, @ashryzulkifli turut menawarkan perkhidmatan mengedit atau menukar gambar dengan berlatar belakangkan bendera Malaysia secara percuma di mana pengguna lain hanya perlu memberikan gambar kepada beliau.

“Siapa yang nak tukar background Bendera Malaysia ?? tu, meh sini aku tolong tukar kan free of charge je. Comment/dm gambar korang nanti aku editkan. AYUHH KITA SEMUA RAIKAN BULAN KEMERDEKAAN KITA!!,” katanya.

Bagaimanapun, sebagai acara sambutan Bulan Kebangsaan yang sebenar, ianya diadakan secara sederhana di seluruh negara tanpa sebarang perarakan serta dilaksanakan secara hibrid yang menggabungkan dua kaedah secara fizikal dan virtual (maya).

Terdahulu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu telahpun merasmikan Pelancaran Bulan Kebangsaan Dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Perak Bagi Tahun 2020 secara sederhana pada 28 Julai yang lalu di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Beliau semasa majlis turut menggalakkan rakyat di negeri untuk memeriahkan detik-detik kemerdekaan dengan mengibar Jalur gemilang di kediaman masing-masing serta memuat naik gambar ekspresi merdeka ke platform media sosial.

Malahan, beliau turut mengajak masyarakat mengukuhkan ikatan sesama kaum yang berbilang ini dengan membuat rakaman aktiviti komuniti setempat menghiasi Jalur Gemilang  di kediaman dan merakamkan nyanyian lagu patriotik secara beramai-ramai.

Sementara itu, “Malaysia Prihatin” dipilih menjadi tema Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini yang mana menggambarkan seluruh rakyat turut sama memerangi wabak Covid-19 serta kecaknaan kerajaan dengan melakukan pelbagai inisiatif merangkumi aspek ekonomi dan kebajikan demi kelangsungan hidup rakyat.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");