Perak Hari Ini

Tetap Dengan Pendirian: Hubungan Malaysia-UAE Tidak Terjejas

TANJONG MALIM- Perjanjian damai di antara Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Israel yang diusahakan oleh Amerika Syarikat pada 13 Ogos lalu tidak akan menjejaskan hubungan Malaysia dengan negara arab berkenaan.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, hubungan antara kedua-dua negara kini erat dan saling hormat menghormati antara negara.

“Sebenarnya hubungan kita dengan UAE cukup erat dan hubungan hormat menghormati diantara dua negara ini harus mampu untuk mengatasi pertimbangan pendirian semasa dan tidak ada sebabnya saya tidak jumpa dan berbincang dengan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media semasa Majlis Ramah Mesra bersama Pemimpin Masyarakat dan Warga Felda Trolak Selatan di sini, hari ini.

Katanya, sudah memadai jika Malaysia berpegang kepada pendirian untuk tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.

“Asalkan kita pegang pada pendirian kita, keputusan negara-negara lain yang berdaulat yang mempunyai hak mereka sendiri untuk membuat apa jua pendirian tidak seharusnya menjejaskan Malaysia dan pendirian kita terhadap perjuangan kita di Palestin,” katanya.

Terdahulu beliau dalam satu kenyataan berkata, pendirian Malaysia dalam isu Palestin tidak akan berubah meskipun negara UAE memutuskan untuk membentuk hubungan diplomatik dengan Israel.

“Pendirian Malaysia dalam isu Palestin tetap konsisten. Malaysia menentang pelan haram dan unilateral oleh rejim Israel untuk melaksanakan rancangan pengilhakan sebahagian wilayah Palestin yang diduduki di Tebing Barat.

“Malaysia, yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, turut mengulangi pendirian yang dipegang sejak sekian lama bahawa pembentukan negara berdaulat Palestin yang bebas melalui penyelesaian dua Negara (two-State solution), berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Palestin merupakan satu-satunya penyelesaian terhadap konflik Palestin-Israel,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");