Berita Hari Ini

Tiada Lagi Sekatan Jalan Raya Di Kubang Pasu Dan Padang Terap

ALOR SETAR: Sekatan jalan raya (SJR) di semua kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco) di empat mukim di Kubang Pasu dan Padang Terap, ditutup sepenuhnya hari ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan ketika dihubungi Harian Metro mengesahkan perkara itu.

Sebanyak 10 SJR di kawasan Kubang Pasu dan Padang Terap diadakan sejak 3 Ogos lalu selepas kluster Sivagangga merebak di Napoh di Kubang Pasu hingga ke Padang Sanai di Padang Terap.

Sekatan itu dilakukan bertujuan untuk mengelak dari sebarang aktiviti keluar masuk penduduk di kawasan Temco bagi mengelak penularan COVID-19.

Berikutan itu, anggota polis dibantu agensi lain termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ditugaskan menjaga sekatan jalan raya terbabit.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD Temco di empat mukim di Kubang Pasu dan Padang Terap ditamatkan hari ini.

Keputusan itu dilakukan selepas mengambil kira tiada kes positif baru dan semua penduduk di kawasan berkenaan sudah menjalani saringan Covid-19 oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

KKM sudah menyaring seramai 1,397 penduduk di Kampung Sanglang dan Kampung Tanah Timbul serta lebih 7,000 penduduk di Kubang Pasu dan Padang Terap.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");