Sukan Hari Ini

FAM Belum Sedia Guna VAR

KUALA LUMPUR: Idea mengenai penggunaan video bantuan pengadil (VAR) kembali hangat diperkatakan susulan kontroversi demi kontroversi yang dicetuskan oleh pengadil tempatan ketika bertugas mengadili saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Terbaharu, mutu pengadilan menjadi persoalan untuk dua minggu berturut-turut membabitkan dua pengadil iaitu Wan Mohamad Tarmizi Wan Ibrahim ketika aksi Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT), disusuli Zulkarnain Zakaria ketika bertugas untuk perlawanan antara JDT menentang Selangor.

Bagaimanapun, di sebalik pelbagai ‘drama’ yang melanda, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan VAR bukan satu langkah penyelesaian yang wajar buat masa ini memandangkan banyak perkara perlu dipertimbangkan sebelum badan induk itu menggunakan teknologi terbabit.

Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam menjelaskan ini kerana keutamaan badan induk itu ketika ini adalah meneruskan program pembangunan dan pemerkasaan pengadil bagi memastikan pengadil lebih bersedia.

“Saya boleh katakan ketika ini FAM memerlukan masa untuk bergerak ke arah penggunaan VAR. Kita lihat VAR pun bukanlah mekanisme yang sempurna kerana penggunaanya juga kadang kala mendatangkan masalah.

“Kita tahu VAR ini sememangya satu topik yang hangat diperkatakan tetapi ia bukanlah penyelesaian untuk segalanya. Fokus kita tetap kepada program pembangunan dan pemerkasaan pengadil selain pengenalan pengadil profesional yang terpaksa ditangguhkan ke tahun depan.

“Kalau kita bekerja untuk memastikan penyediaan pengadil yang lebih teliti, saya rasa itu lebih bagus untuk memberikan impak positif bagi jangka masa panjang daripada kita sekadar menggunakan VAR,” katanya sebagaimana dilaporkan BH Online.

Namun, Stuart menegaskan itu tidak bermakna badan induk berkenaan menolak terus penggunaan teknologi terbabit apabila menjelaskan perkara itu boleh diperimbangkan dan boleh dibawa dalam perbincangan jawatankuasa pada tahun depan.

“Dengan sains VAR dan kos yang sedang menurun, kita boleh pertimbangkan pada masa akan datang. Cuma kita perlu lihat banyak perkara khususnya membabitkan kos dan kebolehlaksanaanya terlebih dahulu.

“Kalau kita mahu ikut di Thailand, kita perlu tengok kosnya juga dan mungkin ia dapat dilakukan mengikut kesesuaian tempatan. Kita tidak mahu memberikan perkhidmatan sebagai pilihan kepada pasukan yang ada kemampuan sahaja.

“Kalau kita mahu gunakan VAR, kita melihat implementasinya nanti perlukah seragam dan bukan setakat kemewahan untuk sesetengah pasukan. Kita juga tidak mahu sekadar guna dan tidak beri keutamaan kepada program pembangunan dan pemerkasaan pengadil kita sendiri,” katanya.

Sebagai rekod, pasukan di Liga Thailand memberi kebenaran kepada mana-mana pasukan yang berminat untuk menggunakan VAR namun mereka perlu membayar kos operasi teknologi terbabit bagi setiap perlawanan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");