Perak Hari Ini

‘Gunakan Media Sosial Secara Berhemah, Jangan Body Shaming’

PERKATAAN ‘body shaming’ atau perbuatan mengejek fizikal seseorang menjadi antara perkataan tular atau sohor kini di media sosial sejak akhir-akhir ini.

Ia susulan tindakan seorang Pesuruhjaya Sumpah Suharnizan Md Sidek, yang membuat laporan polis dengan mendakwa personaliti media sosial, Eira Aziera telah menghinanya yang membabitkan soal fizikal badan.

Isu tersebut masih menjadi bualan netizen selain pelbagai pihak turut melontarkan pandangan masing-masing.

Bagi Nur Fairuz Ahmad Azhar, 36, perbuatan seperti itu boleh berpunca daripada pengaruh yang berada di sekeliling pelaku.

“Tindakan body shaming ini boleh berlaku sewaktu di sekolah misalnya. Mungkin si pelaku merasakan ia perkara biasa sehingga boleh terbawa-bawa apabila dewasa,” katanya di sini, hari ini

Ujarnya lagi tindakan yang disifatkan sebagai membuli itu turut boleh memberi kesan mental kepada yang dicemuh.

“Mangsa yang dihina itu boleh mungkin menjadi murung sehingga dewasa. Mungkin juga mangsa itu akan menjadi seorang yang tidak berkeyakinan,” katanya lagi.

Menurut guru, Mohd Syazwan Ilham, 33, semua pihak harus sentiasa berhemah menggunakan media sosial khususnya dalam mengeluarkan sebarang pandangan kepada individu lain.

“Adakala kita boleh bergurau tetapi ada hadnya. Mungkin tanpa sedar ianya boleh memberi kesan buruk kepada individu yang ditujukan.

“Lebih buruk lagi apabila ada sebarang tindakan undang-undang diambil. Bak kata pepatah, ‘terlajak perahu boleh berundur, terlajak kata badan binasa’”, jelas beliau.

Hari ini sebuah akhbar tempatan melaporkan perbuatan seperti mengutuk, menghina dan mencaci bentuk tubuh seseorang adalah satu kesalahan jenayah yang boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, undang-undang yang terpakai untuk menangani perlakuan jenayah berkenaan adalah di bawah Seksyen 233(1)(a)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 509 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Menurut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, pelaku boleh dikenakan denda tidak lebih RM50,000 dan penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Manakala kesalahan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan boleh dikenakan penjara sehingga lima tahun.

Sementara itu bagi kesalahan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil pula, seseorang yang didakwa boleh didenda tidak melebihi RM100.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");