Perak Hari Ini

Hamidah Osman Dakwa PCB Berada Dalam Proses Penggulungan

IPOH: Perak Corporation Bhd (PCB) didakwa berhadapan dengan masalah kewangan membabitkan jumlah hutang jutaan ringgit.

Penyelaras Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) Perak Datuk Hamidah Osman mendakwa anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) itu turut berada dalam proses penggulungan.

Beliau yang juga Naib Presiden PUTRA mempersoalkan perkara itu tidak disuarakan oleh mana-mana parti politik sama ada kerajaan mahupun pembangkang selain mendakwa kerajaan negeri tidak mengambil serius tentang hal tersebut.

Bekas EXCO Kerajaan Negeri itu mendakwa masalah tersebut berpunca daripada penyelewengan dalam urusan pembinaan taman tema Movie Animation Park Studios pada 2013.

Kata beliau kesilapan adalah selepas kerajaan negeri ketika itu membuat keputusan untuk membeli perniagaan berkenaan daripada pemaju iaitu Sanderson dan kemudian menjadikan ia sebagai salah satu projek kerajaan negeri.

“Ketika pembinaan MAPS, anak syarikat di bawah PCB telah membuat pinjaman sebanyak RM520 juta untuk pelaburan projek berkenaan. Ia kemudian membuat pinjaman tambahan RM200 juta untuk kontraktor.

“Kini apabila MAPS telah ditutup dan syarikat dalam proses penggulungan, maka ada pihak pemiutang akan mencari PCB kerana PCB adalah penjamin,” katanya dalam satu sidang media di Pejabat PUTRA Perak, di sini, hari ini.

Ujar beliau, berdasarkan laporan kedudukan kewangan tahunan PCB pada Disember 2019, nilai aset yang ada pada syarikat berkenaan adalah sebanyak RM742 juta.

“Manakala bagi nilai liabiliti syarikat sebanyak RM751 juta. Maknanya nilai liabiliti kini sudah mengatasi jumlah aset. Kalau situasi begini, kita sendiri fahamlah bagaimana keadaan syarikat tersebut,” kata beliau.

Selain itu, Hamidah mendakwa keadaan akan bertambah buruk apabila sekiranya PCB diisytiharkan bankrap, ia turut akan memberi kesan kepada aset kerajaan negeri lain termasuk Lumut Maritime Terminal atau Pelabuhan Lumut.

“Pihak mahkamah telah memberi tempoh 90 hari bermula 23 Julai lalu untuk PCB menjelaskan masalah kewangan mereka.

“Sekiranya ini terjadi, bukan sahaja MAPS, Hotel Casuarina Meru Raya dan tanah-tanah yang ada dalam pegangan PCB turut akan ‘dilelong’. Paling mengecewakan Pelabuhan Lumut turut akan terbabit,” dakwannya lagi.

Justeru beliau berharap agar Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut dapat campur tangan bagi menyelesaikan kemelut ini selain menyelamatkan Pelabuhan Lumut yang disifatkan sebagai potensi besar buat negeri dan negara.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");