Perak Hari Ini

Pandang Serius Isu Haiwan Ternakan Yang Berkeliaran Di Batu Gajah

BATU GAJAH: Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) memandang serius isu haiwan ternakan yang dibiarkan berkeliaran sehingga mengundang ketidakselesaan dan membahayakan keselamatan serta nyawa penduduk setempat.

Yang Di-Pertua (YDP) MDBG, Mohamad Razif Ramli berkata pelbagai usaha telah dilakukan bagi menyelesaikan masalah tersebut termasuk menyediakan tapak khusus kepada lebih 30 penternak.

Namun katanya inisiatif tapak milik Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) yang berhampiran dengan Kampung Pisang, dekat sini tidak mendapat kerjasama para penternak.

Menurutnya antara alasan yang diberikan mereka adalah meminta MDBG menyediakan fasiliti bekalan air dan elektrik serta kandang di atas tanah tersebut selain enggan dikenakan bayaran sewa RM1,200 setahun.

 

“MDBG sudah beberapa kali mengadakan sesi dialog dengan mereka malah PPPNP turut menawarkan tanah untuk mereka menjalani ternakan di situ. Walau bagaimanapun para penternak dilihat seolah-olah kurang berminat dengan tanah tersebut.

“Sesi dialog bersama penternak ada diadakan pada tahun lepas dan pada tahun ini masih belum diadakan kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Justeru katanya MDBG akan sentiasa berusaha bagi mencari penyelesaian terhadap masalah tersebut.

Razif berkata antara usaha berterusan yang dilakukan adalah tangkapan haiwan ternakan berkeliaran pada setiap minggu.

“Ada ketika kita ada menangkap tiga ekor haiwan ternakan yang berkeliaran. Ada juga penternak yang tampil menuntut haiwan ternakan mereka.

“Kita akan mengenakan kompaun RM2,500 yang mana denda itu termasuk dengan kos pengurusan haiwan terbabit,” katanya lagi.

Dalam pada itu beliau berharap agar penternak dapat menguruskan haiwan ternakan mereka dengan baik demi keselesaan dan keselamatan orang ramai.

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Team Kris Berhad bersama MDGB di sini hari ini.

Hadir sama Pegawai Daerah Kinta, Meor Hezbullah Meor Abd Malik.

Program tersebut diadakan sebagai pembersihan tanah seluas 130 ekar bagi tujuan pembangunan bercampur baru berkonsepkan seni reka Islam Sepanyol yang diberi nama ‘Spanish Garden by The Water’.

Pengerusi Eksekutif Team Kris Berhad, Datuk Lee Seng Hee ketika ditemui berkata projek tersebut mampu memberi impak terhadap pembangunan ekonomi di Perak pada pasca COVID-19.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");