Berita Hari Ini
Like

Pas Tuntut Penjelasan UMNO

September 26, 2020
407 Views
0 Comments
2 minutes read
Pas Tuntut Penjelasan UMNO

SHAH ALAM – Pas menuntut penjelasan daripada UMNO berhubung dakwaan berlakunya perubahan sokongan ahli-ahli Parlimen parti itu terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kononnya beliau mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan baharu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, jika benar perkara itu, ia bermakna UMNO tidak mematuhi persefahaman dan persetujuan yang termaktub dalam Piagam Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai pada 14 September 2019.

 

“Piagam Muafakat Nasional dizahirkan berteraskan matlamat untuk menyatupadukan umat Islam dalam negara, sekali gus berusaha mengalahkan Pakatan Harapan (PH) yang diterajui PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

“Justeru sekiranya peralihan ini benar, ia boleh dianggap sebagai suatu gerakan yang bertujuan menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang terbina di atas permuafakatan Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan beberapa parti lain di atas kejatuhan kerajaan PH,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kelmarin, Anwar dalam satu sidang akhbar tergempar memberitahu beliau mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan yang baharu.

Selain itu, Ahli Parlimen Port Dickson tersebut turut menegaskan bahawa majoriti yang diperoleh adalah konklusif dan bukannya majoriti tipis.

Susulan itu juga, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan menegaskan UMNO dan BN tidak dapat menghalang ahli-ahli Parlimen parti untuk mengambil keputusan menyokong Anwar yang berhasrat menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata, ini kerana UMNO dan BN bukan merupakan parti komponen Perikatan Nasional (PN).

Sehubungan itu,Takiyuddin berkata, Pas berharap untuk mendapat penjelasan daripada UMNO atas dasar rakan muafakat dalam Muafakat Nasional

Katanya, Pas juga mengajak UMNO untuk kembali menghayati hasrat dan iltizam yang telah disepakati secara bersama itu.

Komen & Pendapat

Comments are closed.