Panasnya Hari Ini

PAS Ucap Tahniah Pada GRS Bentuk Kerajaan Baharu Sabah

KUALA LUMPUR: PAS menzahirkan ucapan tahniah kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diterajui Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) atas kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, semalam.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata PAS akan terus komited menyumbang peranannya dalam usaha memperkukuh perpaduan dan membela kebajikan rakyat secara bersama.

Katanya, sekarang adalah masa untuk semua wakil rakyat menunaikan tanggungjawab sebaiknya demi kemaslahatan agama, bangsa dan negara.

“Tahniah kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diterajui Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) atas kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Kepada pengundi, terima kasih atas kepercayaan ini,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook, hari ini, lapor BH Online.

GRS secara rasmi, membentuk kerajaan negeri yang baharu di Sabah selepas memenangi 38 daripada 73 kerusi dalam PRN yang ditandingi, semalam.

GRS yang dianggotai Perikatan Nasional (PN) memenangi 17 kerusi, Barisan Nasional (BN) mendapat 14 kerusi, seterusnya Parti Bersatu Sabah (PBS) menawan tujuh kerusi.

Sebelum ini, PAS memberi laluan kepada parti lain dalam PN untuk bertanding pada PRN negeri itu bagi memastikan pertandingan dua penjuru demi kemenangan besar gabungan berkenaan.

PRN Sabah Ke-16 diadakan berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 30 Julai lalu selepas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin meluluskan permohonan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");