Perak Hari Ini

Perak Yakin Mampu Baiki Prestasi Di SUKMA Johor

IPOH – Perak yakin mampu memperbaiki prestasi dan meraih kedudukan yang lebih baik dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Johor yang dijangka berlangsung pada 6 hingga 14 Mac tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Khairul Shahril Mohamed berkata, kini setiap atlet dilihat begitu bersemangat dalam menjalani latihan di bawah kelolaan jurulatih pasukan masing-masing.

“Atlet kita cukup bersemangat dalam persiapan SUKMA kali ini dan kelebihan yang kita ada adalah daripada segi fasiliti sukan yang mana fasiliti sukan di Perak adalah antara yang terbaik di negara.

“Jadi, itu kelebihan yang ada pada kita dan kita berkeyakinan ada beberapa atlet kita yang mampu memecah rekod kebangsaan termasuk dalam kategori senior dalam sukma itu nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Tangan Prototaip Elektronik Cetakan 3D di Hub Inovasi dan Multimedia di Pasaraya Besar Mydin Meru Raya, di sini, hari ini.

Pada temasya SUKMA Perak yang berlangsung pada 11 hingga 22 September 2018, kontinjen Perak meraih kedudukan kelima keseluruhan dengan mengutip 37 emas, 50 perak dan 55 gangsa.

Dalam temasya dwi tahunan itu, Terengganu mengungguli kejohanan dengan menggondol 56 emas diikuti Wilayah Persekutuan (52 emas), Selangor (47 emas) dan Sarawak dengan 42 emas.

Pada masa sama, Khairul Shahril berkata, antara sukan yang dijangka mampu menjadi penyumbang pingat emas kepada Perak adalah acara menembak, angkat berat dan sepak takraw.

“Seperti sepak takraw, baru-baru ini mereka telah muncul juara dalam Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan Remaja STL-Road to SUKMA 2020 yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini. Itu satu petanda yang cukup baik,” katanya.

Tambah beliau kontinjen Perak juga akan memasuki kem pusat selama tiga hari bermula 11 September ini di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar bagi persiapan diri dalam pelbagai aspek termasuk mental dan fizikal.

“Selain itu, konsep sains sukan juga akan diterapkan kepada para atlet dalam kem ini bagi memastikan mereka benar-benar bersedia sebelum kejohanan bermula,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");