Berita Hari Ini

Program basmi kemiskinan wujud peluang adil, saksama kepada rakyat, kata PM

KUALA LUMPUR: Program pembasmian kemiskinan di negara ini dilakukan bukan sahaja mengambil kira soal kaum dan bangsa, tetapi juga faktor lain dalam usaha mewujudkan peluang yang adil dan saksama kepada semua rakyat.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, ia bagi memastikan kekayaan dapat diagih dan dinikmati secara bersama.

“Dasar kerajaan Perikatan Nasional adalah untuk melaksanakan program pembasmian kemiskinan secara menyeluruh dan ini mengambil kira perbezaan Bumiputera dan bukan Bumiputera, wilayah dan bukan wilayah, termasuk di Sabah dan Sarawak dengan pelbagai inisiatif yang dilakukan pada masa lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada persidangan Dewan Negara hari ini bagi menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh senator Razali Idris mengenai inisiatif kerajaan dalam mengatasi masalah kemiskinan di negeri seperti Kelantan, Teregganu, Sabah dan Sarawak.

Muhyiddin berkata, penekanan kerajaan kepada usaha membangunkan sosio ekonomi Bumiputera tidak bermakna kerajaan mengabaikan golongan bukan Bumiputera dan kerana itu, kerajaan mewujudkan dasar Wawasan Kemakmuran Bersama yang mengambil kira kepentingan semua kaum.

“Bumiputera adalah sebahagian besar daripada populasi di negara ini, iaitu hampir 70%. Ini menyebabkan kerajaan menumpukan kepada mereka dalam membangunkan ekonomi negara secara keseluruhan,” katanya.

Perdana menteri bagaimanapun berkata, kerajaan sentiasa prihatin dengan masalah setiap kaum dan tidak akan mengabaikan mana-mana golongan, khususnya dalam soal kemiskinan.

“Kita tidak boleh biarkan bukan Bumiputera miskin dan hanya Melayu (Bumiputera) kita kayakan…tidak boleh. Kita mesti ada dasar yang adil untuk semua kaum di negara ini,” katanya.

Muhyiddin berkata, antara masalah yang dihadapi oleh kerajaan dalam usaha membasmi kemiskinan adalah ketiadaan pangkalan data yang lengkap tentang pencapaian Bumiputera dalam pelbagai sektor ekonomi ketika ini.

Untuk itu katanya, kerajaan mewujudkan teraju Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), iaitu sebuah badan di bawah Jabatan Perdana Menteri, yang berperanan sebagai sekretariat yang menyelaras dan memacu agenda Bumiputera dalam usaha meningkatkan penguasaan golongan itu dalam ekonomi negara.

Muhyiddin berkata, bagi memperkasakan ekonomi Bumiputera, tumpuan akan diberikan kepada bidang tertentu seperti sektor perindustrian, perbankan, pembuatan dan elektronik.

Ia bagi mengenal pasti kelemahan golongan Bumiputera untuk membolehkan kerajaan memperkenalkan inisiatif tertentu supaya dapat memastikan mereka tidak jauh ketinggalan berbanding kaum lain.

Menjawab soalan asal Razali mengenai keberkesanan Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB), Muhyiddin berkata, tahap kemiskinan Bumiputera pada 2019 adalah sebanyak 7.2% berbanding kaum lain.

Manakala itu kadar pengangguran Bumiputera bagi suku ke-2 tahun ini adalah 5.2%, berbanding purata nasional 5.1%.

Katanya, pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat pada 2015 pula, cuma pada tahap 16.2%, berbanding bukan Bumiputera sebanyak 30.7% dan pegangan asing sebanyak 45.3%.

Sehubungan itu katanya, penubuhan MKB merupakan platform tertinggi untuk memperbaharui dan memperkukuh pembangunan sosioekonomi Bumiputera.

“Penubuhan majlis ini juga adalah sebahagian daripada kerangka intervensi strategik untuk memandu dan mempercepat pemerkasaan ekonomi Bumiputera melalui usaha peningkatan kapasiti dan keupayaan merentas pelbagai program.

“Bagi memastikan majlis ini mencapai objektif penubuhannya, ia akan didukung oleh 2 jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Pemandu yang akan dipengerusikan oleh menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) dan Jawatankuasa Kerja yang akan dipengerusikan oleh ketua pegawai Teraju.

“Kedua-dua Jawatankuasa ini akan bersidang secara berkala serta melibatkan semua agensi pelaksana berkaitan,” katanya dengan menambah Jawatankuasa Pemandu majlis berkenaan bersidang buat kali pertama pada 11 Ogos lepas.

Menurutnya, pencapaian kementerian, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan dalam menggerakkan agenda pemerkasaan Bumiputera akan dipantau dan dinilai melalui rangka kerja petunjuk prestasi utama (KPI) yang bakal melibatkan semua ketua agensi berkaitan.-Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");