Berita Hari Ini

11 Depot Tahanan Sesak

PUTRAJAYA – Jumlah tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) di kesemua 14 Depot Tahanan Imigresen (DTI) di negara ini adalah sebanyak 15,626 orang sekali gus melebihi kapasiti ditetapkan yang hanya mampu menampung sebanyak 12,530 individu.

Berdasarkan statistik Jabatan Imigresen, jumlah tahanan semasa setakat 5 Oktober itu membabitkan 12,342 tahanan lelaki, 2,525 perempuan dan 759 kanak-kanak.

Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, sebanyak 11 depot tahanan melebihi kapasiti sedia ada dengan DTI Langkap di Perak mencatatkan jumlah tahanan paling tinggi sebanyak 1,880 berbanding kapasitinya yang mampu memuatkan 800 orang sahaja.

Beliau berkata, DTI Pekan Nenas, Johor mencatatkan jumlah kedua tertinggi dengan 1,661 orang berbanding kapasitinya 1,330 diikuti DTI Lenggeng, Negeri Sembilan (1,554) berbanding (1,000) kapasiti.

“Hanya tiga depot tahanan yang tidak mempunyai masalah tersebut iaitu DTI Bukit Jalil, Bekenu dan Semuja di Sarawak,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, tahanan paling ramai melibatkan warga Myanmar seramai 5,225 orang diikuti Indonesia (5,216); Bangladesh (1,815); Vietnam (1,009) dan India (497).

“Selain itu, tahanan lain ialah warga Filipina (378), Thailand (300), Pakistan (269), China (255), Cambodia (224) dan selebihnya lain-lain warga negara,” katanya.

Dalam perkembangan berbeza, Khairul Dzaimee berkata, berdasarkan statistik pengusiran terkumpul sehingga 5 Oktober lalu, Indonesia mencatatkan jumlah paling ramai yang dihantar pulang ke negara asal mereka iaitu seramai 11,919 orang.

“Bangladesh seramai 3,855; Thailand (2,036); India (2,013); Myanmar (1,924); China (1,726); Pakistan (1,132); Vietnam (647); Nepal (369), Nigeria (285) dan (886) melibatkan negara-negara lain,” katanya. – K! ONLINE

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");