Berita Hari Ini
Like

3 pemimpin tunjuk perasaan Thailand ditahan, seorang tak sedarkan diri

October 31, 2020
259 Views
0 Comments
2 minutes read
3 pemimpin tunjuk perasaan Thailand ditahan, seorang tak sedarkan diri

Polis Thailand membawa salah seorang pemimpin utama penunjuk perasaan di negara itu dalam keadaan tidak sedarkan diri menggunakan sebuah van semalam.

Reuters melaporkan kejadian itu berlaku ketika Panupong “Mike Rayong” Jadnok, 24, dan dua yang lain ditahan semula oleh polis sebaik tempoh penahanan reman mereka tamat.

Sebelumnya, kekecohan meletus susulan penahanan semula tiga individu itu yang merupakan pemimpin utama protes prodemokrasi di Thailand.

Dua yang lain ialah Panusaya “Rung” Sithijirawattanakul, 22, dan Parit “Penguin” Chiwarak, 22.

Ketiga-tiga mereka sebelum ini ditahan pada 15 Okt dalam usaha pihak berkuasa menamatkan aksi tunjuk perasaan terhadap kerajaan untuk menggesa reformasi dalam sistem monarki di negara itu.

Aksi tunjuk perasaan itu juga menggesa peletakan jawatan Perdana Menteri, Prayut Chan-O-Cha, bekas ketua tentera yang mendalangi rampasan kuasa pada 2014.

Salah satu klip video kejadian itu memaparkan Panupong tidak sedarkan diri dalam van polis yang dinaikinya bersama dua pemimpin lain dari penjara reman Bangkok ke balai polis tersebut sebelum dibawa ambulans ke hospital.

Kumpulan peguam hak asasi di Thailand berkata, keadaan Panupong tidak kritikal tetapi akan ditahan di hospital.

Kumpulan itu juga percaya Panupong tidak sedarkan diri kerana telah ‘dicekik’ (chokehold) ketika berada dalam van polis.

Sementara itu, seorang pegawai pihak berkuasa berkata, mereka mendapat arahan untuk membawa tiga pemimpin penunjuk perasaan itu dari penjara reman ke balai polis.

Peguam yang mewakili tiga pemimpin itu pula berkata, kesemua anak guamnya akan didakwa semula dan dia menegaskan tindakan itu tidak sah kerana ketiga-tiga mereka telah mengaku tidak bersalah atas tuduhan sama.

Ketika kekecohan yang meletus di balai polis semalam, Parit – yang menanggalkan bajunya- serta Panusaya memberikan ucapan spontan untuk meraih perhatian penyokong mereka yang turut sama hadir di situ.

Mereka menyuarakan rasa tidak puas hati kerana ditangkap semula dan berkata akan terus melakukan protes secara aman.

“Tak kira apa berlaku, protes ini akan tetap diteruskan, kami tidak mahu keganasan,” kata Panusaya sambil menafikan semua tuduhan yang dikenakan.-Mkini

Comments are closed.