Berita Hari Ini

Bekerja dari rumah: Kenapa kerajaan selektif?

Kerajaan diminta menjelaskan lebih terperinci mengenai arahan bekerja dari rumah yang dikuatkuasakan supaya masalah kekeliruan dapat ditangani sebelum menjelang esok.

Ini kerana, timbul persoalan mengapa pihak pengurusan sahaja dibenarkan bekerja dari rumah sedangkan kakitangan lain perlu ke tempat kerja.

Arahan itu, secara tidak langsung telah menimbulkan persepsi bahawa kerajaan memberi layanan berbeza antara ‘pekerja yang berkuasa’ dan kakitangan bawahan, kata Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Datuk Jacob George.

“Semalam kita faham lain. Tetapi apabila ada keluar kenyataan baharu ramai yang keliru. Lebih malang lagi, kebanyakan majikan pun tidak tahu dengan arahan berkenaan.

“Soalan saya ialah mengapa jadi begitu. Kita sudah melalui Perintah Kawalan Pergerakan, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan, jadi kenapa masih membuat kenyataan-kenyataan keliru.

“Jadi, saya minta tolong, berilah penjelasan yang baik dan terperinci supaya majikan dan pekerja-pekerja di negara ini faham.

“Tolonglah sensitif dengan kepayahan yang ditanggung rakyat sekarang, bukan sahaja dengan pandemik tetapi sesetengahnya juga berdepan dengan isu air,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Dalam keadaan getir dan mencabar ini, kerajaan melalui mana-mana kementerian atau agensi pun perlulah menyalurkan maklumat yang sama, jelas dan tepat.

“Kalau maklumat keliru, sudah pasti majikan dan pekerja sukar memberi kerjasama yang baik. Jika kerjasama ini gagal, bagaimana hendak bendung penularan Covid-19 kerana masih ada pekerja bergerak dan menimbulkan risiko.

“Seandainya ini berlaku, kita tidak melakukan usaha menangani pandemik dengan baik, dikhuatiri angka jangkitan terus naik pula,” ujar Jacob.

Semalam, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Majlis Keselamatan Negara bersetuju agar pekerja-pekerja bagi sektor awam dan pekerja swasta di peringkat pengurusan dan pengawasan tidak perlu untuk hadir ke pejabat dan hanya bekerja dari rumah

Arahan itu membabitkan hampir 800,000 pekerja sektor industri dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah.

Ia juga akan melibatkan seramai hampir 200,000 penjawat awam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah.

Kekeliruan itu berlaku apabila Jabatan Perkhidmatan Awam memaklumkan hanya 30% kakitangan dibenarkan ke pejabat dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pula memaklumkan arahan itu melibatkan 10% kakitangan awam dan swasta.

MITI juga dalam infografik yang dikeluarkan berkata, semua pekerja operasi dibenarkan bertugas tetapi 10% kakitangan pengurusan dan operasi perlu bekerja dari rumah.

Kakitangan pengurusan dan operasi yang perlu bekerja di pejabat pula dihadkan bekerja selama 4 jam sahaja.

“Dari arahan ini pun jelas tidak mesra rakyat, kenapa ada diskriminasi. Bukankah keselamatan semua pekerja di kawasan zon merah atau PKPB sepatutnya dilindungi?

“Saya harap MKN, kementerian-kementerian terlibat sensitif,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");