Panasnya Hari Ini
Like

‘Bersatu Yang Perlu Buat Tawaran, Bukan Minta Umno Nyatakan Tuntutan’

October 17, 2020
376 Views
0 Comments
2 minutes read
‘Bersatu Yang Perlu Buat Tawaran, Bukan Minta Umno Nyatakan Tuntutan’

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sepatutnya membuat tawarannya bagi mengekalkan Umno dalam pentadbiran Perikatan Nasional dan bukannya meminta Umno memperincikannya secara bertulis, kata Isham Jalil.

Ketua penerangan BN Selangor itu berkata, Muhyiddin boleh membuat “tawaran yang adil” kepada Umno jika dia benar-benar mahu terus memegang kuasa.

“Saya dimaklumkan petang tadi (semalam) bahawa Bersatu telah meminta Umno untuk menulis surat kepada presidennya untuk memohon apa-apa tuntutan. Pada pandangan saya, arahan seperti ini tidak membantu.

“Jika Bersatu serius mahu bekerjasama dengan Umno, sebagai perdana menteri yang memegang kuasa dan memerlukan sokongan gabungan parti politik untuk kekal berkuasa, Muhyiddin boleh membentangkan tawaran yang adil kepada Umno atau parti politik lain untuk dipertimbangkan oleh presiden Umno, Majlis Tertinggi mahupun pemimpin parti politik lain,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Isham yang juga bekas pegawai khas Najib Razak berkata, Muhyiddin lebih mengetahui apa yang ada di bawah bidang kuasanya untuk ditawarkan lapor MalaysiaKini.

“Bersatu tidak perlu menyuruh Umno untuk menulis surat rasmi kepada parti itu atau perdana menteri bagi menyatakan apa-apa permohonan.

“Memandangkan perkara yang perlu dibincangkan adalah soal politik, pada peringkat awal ini tidak perlulah melalui surat-menyurat rasmi seperti hal ehwal kontrak atau urusan perniagaan pula,” katanya lagi.

Jika rundingan itu berjaya, katanya, barulah ia dimeterai secara rasmi dan bertulis.

Semalam, Muhyiddin menerusi Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin meminta Umno memperincikan syarat baru mengenai kerjasama politik dalam PN.

Ia selepas Umno merungut diketepikan dalam kerajaan dan memaklumkan ia sedang menimbang untuk menarik balik sokongan terhadap PN yang akan membawa kepada keruntuhan kerajaan sekarang.

Muhyiddin hanya memiliki 113 daripada 222 sokongan ahli Parlimen. Kehilangan sokongan tiga kerusi sudah cukup untuk menjatuhkan pentadbirannya.

Comments are closed.