Panasnya Hari Ini
Like

Dakwa Beli Vellfire: MB Kedah Saman 4 Pemimpin Pembangkang

October 21, 2020
356 Views
0 Comments
2 minutes read
Dakwa Beli Vellfire: MB Kedah Saman 4 Pemimpin Pembangkang

ALOR SETAR: Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor akan memfailkan saman fitnah ke atas empat pemimpin pembangkang yang mendakwa pembelian kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire milik Syarikat Air Darul Aman (SADA) adalah bagi kegunaannya.

Memetik laporan BH Online, Muhammad Sanusi berkata, antara pemimpin berkenaan adalah Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor, Dr Ismail Salleh dan dua individu lain.

Jelasnya, pembelian kenderaan terbabit dibuat Jawatankuasa Perolehan Aset SADA secara dalaman dan dilakukan mengikut had perbelanjaan ditetapkan.

“Pihak terbabit sepatutnya meminta penjelasan terlebih dahulu, saya sudah melihat tulisan dan siaran langsung media sosial mereka dan peguam saya akan memfailkan kes mahkamah minggu hadapan.

“Saya difahamkan pembelian kenderaan terbabit dilakukan bagi kegunaan bersama ahli lembaga pengarah dan pegawai kanan SADA,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah melakukan kunjungan ke Ibu Pejabat SADA bagi meneliti dokumen pembelian kenderaan terbabit dan berjumpa pengurusan syarikat utiliti berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi SADA berkata, Toyota Vellfire yang baharu dibeli itu kini berada di Ibu Pejabat SADA selain syarikat utiliti berkenaan turut membeli pelbagai aset seperti lori tangki dan pam air bagi kegunaan operasi.

“Melalui penulisan terbabit, saya dituduh mengambil Toyota Vellfire ini di tol pada jam 2.30 pagi sedangkan saya tidak pernah melihat dan menaikinya sehingga kini.

“Saya hanya menggunakan dua kenderaan rasmi iaitu Volvo S90 dan Mercedez S320 yang dibeli bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebelum ini,” katanya.

Kenderaan mewah terbabit dikatakan dibeli SADA pada harga RM345,000 dan memiliki spesifikasi tertinggi.

Komen & Pendapat

Comments are closed.