Berita Hari Ini

Dr Mustapha Ahmad Merican Penerima Anugerah Utama Semarak Cinta Rasul

PUTRAJAYA: Pengerusi Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Merican dipilih sebagai penerima Anugerah Utama Semarak Cinta Rasul 1442H/2020M.

Harian Metro melaporkan Anugerah Utama Semarak Cinta Rasul 1442H/2020M itu diumumkan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Abdul Aziz Jusoh semalam.

Pengumuman secara maya itu disiarkan di TV1 dalam program Semarak Cinta Rasul melalui inisiatif norma baharu susulan pembatalan Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1442H/2020M.

Mustapha yang berasal dari Kuala Terengganu, Terengganu pernah menerima Anugerah Tokoh Badan Bukan Kerajaan (NGO) Antarabangsa daripada Perdana Menteri Kemboja dan Kerajaan Arab Saudi.

Pengiktirafan itu atas keprihatinan beliau dalam memberi bantuan kepada rakyat Kemboja, Vietnam, Thailand, Filipina, Indonesia dan Laos yang dilanda pandemik Covid-19.

Selain itu, beliau juga menyumbang dengan mengadakan rundingan diplomatik dan perhubungan persahabatan bagi pembebasan 47 tahanan rakyat Malaysia dari penjara Kemboja pada Februari 2019.

Pada masa sama, beliau juga aktif dalam program kebajikan bawah NGO antarabangsa di Kemboja sejak 1999.

Antara sumbangan besar beliau adalah membina enam masjid, 10 surau, tiga sekolah agama, menyediakan satu tanah perkuburan Islam, membina jalan di kampung menuju ke masjid, membantu anak-anak yatim, fakir miskin dan mualaf serta membina 4,001 perigi untuk kegunaan awam.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua penerima sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1442H.

Menurut beliau, anugerah berkenaan adalah pengiktirafan kerajaan terhadap usaha yang disumbangkan NGO, barisan hadapan, pendakwah, golongan kurang upaya ( OKU) serta peranan wanita dalam pembangunan masyarakat madani.

Katanya, beliau berharap anugerah itu menjadi pemangkin kepada keutuhan ummah dan kesejahteraan negara.

Selain Mustapha, enam tokoh lain turut diumum sebagai penerima bagi Anugerah Khas Semarak Cinta Rasul 1442H/2020 M terdiri daripada tokoh dalam pelbagai peringkat dan kerjaya.

Penerima Anugerah Khas itu dianugerahkan kepada seorang guru OKU penglihatan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendidikan Khas, Setapak, Kuala Lumpur, Zakaria Yahya, 53; Presiden Pertubuhan Anak Yatim Malaysia (Peyatim), Prof Datuk Dr Tengku Mahmud Mansor, 79 dan Ketua Pegawai Eksekutif Hidayah Centre Foundation, Nicholas Sylvester, 54.

Tiga tokoh wanita turut dipilih sebagai penerima Anugerah Khas sebagai mengiktiraf sumbangan wanita iaitu Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki, 52; Pengarah Kawalan Penyakit Berjangkit, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Norhayati Rusli, 55 dan pendakwah bebas, Zawiyah Hassan, 65.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");