Berita Hari Ini

‘Sudah 30 Tahun Takkan Tak Faham Bahasa Malaysia’

JOHOR BAHRU: “Takkan sudah 30 tahun masih tidak faham bahasa Malaysia (BM),”.

Demikian tegur Hakim Kamarudin Kamsun selepas penganggur yang dituduh merogol anak tiri berdiam diri sehingga jurubahasa terpaksa membacakan pertuduhan berulang kali ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Harian Metro melaporkan hakim terpaksa menegur tindakan lelaki berusia 29 tahun itu apabila tertuduh dilihat terpinga-pinga dan keliru ketika pertuduhan merogol anak tirinya yang berusia 12 tahun antara Mac hingga Jun lalu dibacakan.

Ia menyebabkan jurubahasa terpaksa berulang kali bertanya sama ada dia memahami pertuduhan berkenaan selain pengakuan yang mahu dibuatnya.

Hakim dilaporkan bertanya latar belakang tertuduh yang berasal dari Sabah itu namun dia terus mendiamkan diri.

Kamarudin kemudian bertanya semula sama ada tertuduh memahami pertuduhan dan pengakuannya sama ada mahu mengaku atau tidak, apabila dia dilihat terus terpinga-pinga.

“Kamu berasal dari mana? Sabah kan? Faham bahasa Malaysia kan? Takkan sudah 30 tahun masih tidak faham bahasa Malaysia,” katanya.

Tertuduh akhirnya mengaku tidak bersalah dan meminta untuk dibicarakan selepas diterangkan semula pertuduhan ke atasnya.

Tertuduh didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang juga anak tirinya di bilik utama sebuah rumah di Johor Bahru antara 17 Mac hingga 29 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lydia Salleh manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Timbalan Pendakwa Raya memohon jaminan tidak diberikan ke atas tertuduh berikutan dia, mangsa dan ibunya masih tinggal di rumah sama serta dibimbangi akan mengganggu mangsa.

Hakim kemudian memerintahkan tiada jaminan akan diberikan terhadap tertuduh selepas dia terus mendiamkan diri ketika diminta membuat rayuan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 2 Disember depan bagi penyerahan dokumen.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");