Perak Hari Ini

Hayati Sambutan Maulidur Rasul, Elakkan Persengketaan Sesama Sendiri – MB Perak

IPOH – Bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul, rakyat diminta menghayatinya dengan mengelakkan diri daripada terus menimbulkan bersengketa sesama sendiri.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tema sambutan tahun ini iaitu ‘Ummah Rabbani Negara Harmoni’ tidak dapat dicapai sekiranya semua pihak terus saling berselisih dan mewujudkan ketegangan.

“Jika kita mahukan ‘Ummah Rabbani dan Negara Harmoni’, perkara yang perlu kita elakkan ialah persengketaan sesama sendiri. Dan ini termasuk dalam soal politik.

“Bertepatan dengan sambutan Maulidur Rasul, eloklah kita memperingati segala ajaran yang dibawa Rasulullah SAW agar negara terus harmoni. Itu yang penting.

“Seperti disebutkan tentang kemungkaran-kemungkaran dan persengketaan antara sesama umat Islam itu juga satu kemungkaran dan ia harus dielakkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri di Masjid Sultan Azlan Shah, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Negeri, Mohd Akmal Kamarudin serta Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin.

Selain itu ia turut dihadiri 450 orang terdiri daripada kakitangan kerajaan, badan beruniform serta orang ramai yang kesemuanya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Majlis sambutan yang dianjurkan JAIPk itu dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran diikuti pelancaran Buku Modul Remaja Al-Ridzuan terbitan JAIPk dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang.

Modul itu diterbitkan dengan menyasarkan usaha penyemaian dan pembinaan generasi muda masa kini bagi mendekatkan diri dengan masjid.

Pada masa sama, Ahmad Faizal turut menyampaikan cenderahati penghargaan kepada agensi dan petugas barisan hadapan yang terlibat dalam mengekang penularan COVID-19.

Selain bersolat Maghrib dan Isyak secara jemaah serta berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW beramai-ramai, kemuncak sambutannya adalah Ceramah Maulidur Rasul disampaikan Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");