Perak Hari Ini

Hubungan Dengan Saarani Amat Baik, Beliau Guru Politik Saya – MB Perak

IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan bahawa hubungannya dengan Pengerusi UMNO Negeri, Datuk Saarani Mohamad amat baik.

Malah, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata beliau tidak percaya dakwaan wujudnya komplot antara Saarani mahupun pemimpin lain dalam anggota kerajaan negeri dengan pihak pembangkang yang mahu menjatuhkannya.

“Hubungan saya dengan Datuk Saarani adalah lebih lama dari hubungan saya dengan pemimpin PAS. Sewaktu saya dalam Pemuda UMNO lagi, Datuk Saarani adalah ‘guru politik’ saya.

“Beliau telah banyak mendidik saya dalam bidang politik. Justeru saya menghormati beliau sebagai orang lebih tua daripada saya.

“Dan hari ini kami sebagai satu pasukan dan saya sentiasa menerima pandangan-pandangan beliau sebelum membuat apa-apa keputusan. Alhamdulilah hubungan kami cukup baik,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri di Masjid Sultan Azlan Shah, dekat sini, malam tadi.

Terdahulu sebuah portal tempatan mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu mempunyai cukup sokongan untuk menjatuhkan Ahmad Faizal.

Walau bagaimanapun Saarani yang juga Exco Kerajaan Negeri siang tadi menafikannya selain menyifatkan ia sebagai khabar angin yang tidak berasa dan sengaja ditimbulkan pihak tidak bertanggungjawab.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata hubungannya dengan pimpinan UMNO dan PAS yang berada dalam Perikatan Nasional di Perak juga tidak mempunyai masalah.

“Berkenaan dengan lantikan Setiausaha Politik saya itu orang melihat ianya ada masalah, namun sebaliknya daripada awal ianya tidak.

“Semua menerimanya dengan baik. Kami ini dalam satu keluarga, bukan PAS, UMNO atau Barisan Nasional (BN), BERSATU, kami ini hanya satu iaitu kerajaan Perikatan Nasional (PN),” jelasnya.

Untuk rekod, Kerajaan Perak yang ditadbir PN yang terdiri daripada 25 ADUN BN yang semuanya UMNO, Bersatu (lima), PAS (tiga) sementara baki kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dimiliki DAP (16), AMANAH (lima), PKR (tiga) serta satu masing-masing Gerakan dan Bebas.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");