Sukan Hari Ini

Luqman Makin Serasi Dengan Pasukan

KUALA LUMPUR: Keserasian penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin bersama skuad bawah 21 tahun (B-21) KV Kortrijk jelas sudah semakin baik selepas dia meledak gol pertama dalam perlawanan rasmi bersama pasukan itu, kelmarin.

Diturunkan untuk aksi menentang KFCO Beerschot Wilrijk, penyerang berusia 18 tahun itu memperagakan ‘naluri pemusnahnya’ apabila meledak gol kemenangan menerusi tandukan pada minit ke-83 untuk membantu pasukan itu melakar kemenangan 1-0.

Mengulas mengenai perlawanan itu, bekas pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu menyatakan keterujaannya selepas berjaya membuka ‘akaun gol’ dalam perlawanan rasmi selepas sebelum ini mencetak gol dalam aksi persahabatan dan pemanas badan.

“Sudah tentu saya gembira kerana saya tidak banyak bermain ketika berada di Malaysia dan pada perlawanan rasmi pertama saya pada tahun 2020, saya berjaya menjaringkan gol pertama yang menjadi gol kemenangan buat pasukan.

“Satu hantaran lintang yang begitu baik daripada Loic Ritiere dan saya dapat menyudahkannya untuk jaringan terbabit,” katanya menerusi klip video yang disiarkan di laman rasmi KV Kortrijk, semalam, lapor BH Online.

Malah, pemain itu turut berkongsi kegembiraan menerusi akaun Twitter miliknya sambil mengucapkan terima kasih kepada penyokong sentiasa memberikan dorongan dan mendoakan yang terbaik buatnya.

“Alhamdulillah terima kasih ya Allah walaupun gol biasa biasa, berkat doa anda semua,” katanya.

Sebagai rekod, kemenangan 1-0 itu adalah kemenangan keempat yang dilakar skuad B-21 KV Kortrijk selepas mengharungi enam perlawanan dan menyaksikan kelab itu kini berada di kedudukan keempat apabila menghimpun 14 mata.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");