Berita Hari Ini

Pemotong Rumput Mengaku Rogol, Lakukan Amang Seksual Terhadap Dua Kanak-kanak

KUALA TERENGGANU- Seorang pemotong rumput mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan jenayah seksual terhadap dua kanak-kanak iaitu merogol dan melakukan amang seksual fizikal.

Sinar Harian melaporkan, mengikut pertuduhan pertama, tertuduh, Wan Muhammad Eduan Wan Muhammad Najib, 26, didakwa merogol mangsa berusia 10 tahun di sebuah rumah di Kuala Nerus, lebih kurang jam 12 tengah malam, pada 31 Ogos lalu.

Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (2) (e) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun penjara, jika disabitkan kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap adik lelaki mangsa yang berusia lapan tahun di rumah sama di Kuala Nerus, kira-kira jam 2 petang, pada 16 September lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh dihukum dengan sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Sejurus pengakuan salah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 24 November depan sebagai tarikh jatuh hukum sementara menunggu fakta kes.

Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zulfazliah Mahmud di hadapan Hakim Nooriah Osman manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");