Panasnya Hari Ini

Tiada Keperluan PM Muhyiddin Rombak Kabinet

MELAKA: Tiada keperluan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin merombak Kabinet semata-mata untuk memuaskan hati sesetengah pihak yang dilaporkan terkilan dengan pengagihan kerusi dan jawatan.

Ia kerana Kabinet sedia ada mampu melaksanakan tanggungjawab mentadbir negara dengan baik, apatah lagi dalam keadaan kerajaan dan rakyat sedang bergelut dengan pandemik Covid-19 yang kian meningkat.

Memetik Harian Metro, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, jika sahih ada masalah dalaman kerajaan pimpinan Pakatan Nasional (PN) sekarang, ia harus diselesaikan melalui rundingan seperti dalam keluarga.

“Kenapa kita harus merombak Kabinet? Kita baharu berapa bulan sahaja jadi kerajaan? Kepada sesiapa yang mendesak supaya rombakan Kabinet dibuat, itu hanyalah pendapat peribadi.

“Rakyat sekarang menyokong Kabinet sedia ada kerana jemaah menteri mampu berfungsi dengan baik,” katanya ketika ditemui di majlis ramah mesra dengan kira-kira 100 pengamal media negeri di sini, malam tadi.

Sehubungan itu, bekas Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang itu menegaskan, Muhyiddin tidak harus mengalah kepada tuntutan pihak tertentu yang dikatakan hanya akan memberikan sokongan padu kepada Perdana Menteri jika tuntutan mereka dipenuhi.

Menurutnya, semua pihak dalam PN harus lebih bertanggungjawab dalam memelihara keakraban persahabatan dan kerjasama dalam kerajaan dan bukannya bersikap ‘baling batu sembunyikan tangan’.

“Kita kena memperkukuh kerajaan, bukannya memecah-belahkan perpaduan dan jika ada pihak mendakwa dia menyokong si polan dan pihak lain pula menyokong si polan, kita harus bermuhasabah diri kerana kita berjuang untuk rakyat.

“Kita patuh kepada undang-undang dan Perlembagaan dan rakyat amat memahami masa depan negara amat bergantung kepada kestabilan politik,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");