Perak Hari Ini

Jangan Panik, Keperluan Asas Mencukupi Pada Musim Banjir – KPDNHEP Perak

IPOH – Kementerian Perdagangam Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak memberi jaminan bekalan barang kawalan dan keperluan asas mencukupi semasa semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan musim banjir di negeri ini.

Pengarah KPDNHEP Perak, Saifullizan Kamarul Zaman berkata hasil pemeriksaan terhadap semua pemborong, peruncit, dan pasar raya utama mendapati kesemua barangan kawalan dan keperluan asas berada dalam keadaan stabil.

Katanya hasil pemantaun di seluruh negeri mendapati kesemua barangan keperluan asas tersebut mudah diperolehi selain kesemua pembekal memberi jaminan sama.

“Justeru kita meminta semua rakyat untuk tidak panik dalam suasana tidak menentu ini terutama di musim banjir, PKPB dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dikenakan terhadap Zon B dan Zon C di Taman Meru 2C,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata KPDNHEP Perak memberi jaminan bahawa bekalan makanan dan keperluan asas bagi penduduk di dua lokaliti tersebut mudah diperoleh.

Dalam pada itu, Saifullizan berkata, sebanyak 440 notis telah dikeluarkan membabitkan kompaun berjumlah RM118,650 sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu sehingga semalam.

Ujarnya, jumlah itu merupakan hasil pemeriksaan ke atas 49,363 premis tetap dan terbuka yang dijalankan dengan jumlah kesalahan sebanyak 321 kes.

“Kesalahan paling tinggi yang kita kesan sepanjang tempoh ini adalah berkaitan harga di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.

Terdahulu beliau mengadakan pemantauan ke atas bekalan barang kawalan berjadual dan keperluan asas membabitkan pemborong dan peruncit di sekitar Jalan Bijih Timah di sini.

Jelas Saifullizan hasil pemantauan itu katanya, didapati semua barangan kawalan antaranya minyak masak, gula, tepung dan beras sangat mencukupi.

“Pemantauan dilakukan secara berterusan dan setakat ini tiada pemborong atau peruncit yang dikesan menjalankan aktiviti tidak beretika seperti menyembunyikan bekalan atau melakukan kenaikan harga melampau,” katanya.

Untuk rekod, PKPB dilaksanakan di seluruh Perak bermula 8 November lalu sehingga 6 Disember depan sementara PKPD di Zon B dan C Taman Meru 2C dilaksanakan selama 14 hari bermula 20 November sehingga 3 Disember ini.

Sehingga hari ini, masih terdapat 221 mangsa banjir daripada 55 keluarga di tiga daerah iaitu Kerian, Manjung dan Hilir Perak ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");