Berita Hari Ini

Kesatuan Sekerja KKM Kecewa Kenyataan Ahli Parlimen Bintulu

KUALA LUMPUR: Kesatuan Sekerja di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) membidas Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing yang membuat kenyataan tidak wajar ke atas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

BH Online melaporkan Setiausaha Majlis Presiden dan Setiausaha Agung (MAPSU) Gabungan Kesatuan Sekerja di bawah KKM, Reostam Dzahar berkata, ahli kesatuan sekerja mewakili lebih 270,000 kakitangan dan warga KKM kecewa dengan kenyataan Ahli Parlimen itu.

“Sewajarnya sebagai wakil rakyat mengajak semua ahli politik serta orang ramai bersama-sama menyokong petugas barisan hadapan dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19.

“Tidak sesuai langsung untuk membangkitkan isu politik kesihatan kerana rakyat sedang dibelenggu masalah kos sara hidup berikutan terjejas teruk akibat virus ini.

“Tan Sri Dr Noor Hisham sentiasa berada di jiwa kami dalam ‘peperangan’ ini. Setiap hari beliau akan mengemaskini data yang lengkap dan memberi khidmat nasihat kepada seluruh warga negara supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Semalam di Dewan Rakyat, King Sing membangkitkan isu mengenai Ketua Pengarah Kesihatan yang tidak turun padang dan hanya membuat sidang akhbar harian untuk mendapatkan publisiti.

“Adakah DG dan Timbalannya tidak mahu turun padang ke Sabah kawasan yang paling tinggi kes COVID-19 kerana takut mati,” kata King Sing.

Selain itu, Reostam berkata, strategi dan SOP sentiasa diamalkan oleh petugas barisan hadapan KKM supaya setiap tugasan dapat dijalankan dengan berkesan.

“Hasrat kami sebagai petugas barisan hadapan KKM adalah untuk memberi perkhidmatan yang terbaik untuk semua rakyat dan negara. Pengorbanan kita bukan untuk dipuji tapi demi negara tercinta,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");