Berita Hari Ini

Parlimen: Pendidikan Ketika COVID-19 Jadi Tumpuan Ahli Parlimen Kerajaan, Pembangkang

KUALA LUMPUR – Isu pendidikan, terutama proses pembelajaran ketika berdepan pandemik COVID-19 menarik perhatian beberapa Ahli Parlimen blok kerajaan dan pembangkang yang membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan) di Dewan Rakyat hari ini.

Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) berkata institusi pendidikan terkesan teruk akibat pandemik itu terutama ketika negara sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga pihak universiti terpaksa memotong yuran pengajian.

Justeru, katanya penggunaan teknologi serta capaian internet yang maksimum amat diperlukan oleh mahasiswa bagi meneruskan pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian di rumah.

“Kesemuanya ini memerlukan dana yang cukup dan konsisten bagi memastikan institusi pendidikan dapat beroperasi dengan baik,” katanya.

Turut senada, Datuk Salim Sharif (BN-Jempol) yang berkata dalam keadaan sekolah ditutup masa kini, aspek jaringan digital dan capaian internet perlu dipertingkatkan bagi memastikan pelajar dapat meneruskan pembelajaran di rumah. 

Teo Nie Ching (PH-Kulai) pula menyuarakan persoalan mengenai pendekatan kerajaan dalam mengatasi jurang digital memandangkan hampir 1.7 juta pelajar di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) tidak memiliki peranti sendiri.

Bekas timbalan menteri pendidikan itu berkata berdasarkan kajian KPM, terdapat hampir 37 peratus pelajar tidak mempunyai sebarang peranti bagi membolehkan mereka mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian. 

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan kewajaran keputusan menutup semua sekolah, termasuk di kawasan zon hijau, yang dilihat menimbulkan pelbagai persoalan sama ada ia menjauhkan jurang pendidikan dalam kalangan pelajar terutama di kawasan pedalaman.

“…seperti di Pahang, tiada kes baharu setakat semalam serta sifar kes aktif, namun semua sekolah ditutup. Kita tahu di negeri itu terutama di kawasan pedalaman banyak sekolah Orang Asli.

“Bagaimana mereka mahu mengikuti PdP dalam talian atau kita rasa TV Pendidikan cukup baik untuk mereka? Kenapa kita tidak izinkan murid kawasan itu untuk masuk sekolah, kalau ibu bapa setuju?” soalnya.

Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) pula mencadangkan agar KPM menyediakan jadual pembelajaran dalam talian khususnya kepada pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Mencadangkan supaya pembelajaran diajar oleh guru cemerlang secara kreatif menerusi siaran televisyen khas, beliau berkata langkah itu juga sebagai persediaan apabila sekolah dibuka kelak.

Sementara itu, Dr Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam) mencadangkan kerajaan meneruskan program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dalam tempoh penutupan sekolah bagi memastikan murid daripada keluarga miskin dan orang kurang upaya terus menerima makanan berkhasiat. 

Menurut Maszlee, bekalan makanan sihat itu boleh disediakan oleh pengusaha kantin untuk disampaikan kepada murid di rumah masing-masing, sekali gus memberi pendapatan kepada pengusaha kantin yang turut terjejas akibat penutupan sekolah. 

“Penutupan sekolah ini memberi kesan kepada murid miskin yang sebelum ini mendapat makanan berkhasiat setiap hari di sekolah, jadi sekiranya dapat dilaksanakan semula dalam tempoh penutupan sekolah akibat COVID-19, dalam masa sama kita boleh membantu 600,000 anak yang terjejas,” katanya.

Persidangan dewan bersambung esok. 

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");