Membawang Hari Ini
Like

Penganjur Kesal Dengan Tindakan Shaheizy Sam

November 14, 2020
12 Views
0 Comments
2 minutes read
Penganjur  Kesal Dengan Tindakan Shaheizy Sam

KUALA LUMPUR: Penganjur Anugerah Bintang Popular BH ke-33 (ABPBH33) kesal dengan tindakan pelakon Shaheizy Sam yang tampil dengan beberapa rokok elektronik atau vape tergantung di lehernya ketika mengumumkan pemenang salah satu kategori di acara itu di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, malam semalam.

Harian Metro melaporkan, BH dan TV3 dalam satu kenyataan hari ini berkata, mereka kecewa dengan penampilan pelakon terbabit walaupun penerangan mengenai etika berpakaian sudah diterangkan. 

“Semua artis diberi penerangan berhubung tata susila dan etika berpakaian, bukan sahaja untuk menghadiri majlis berprestij seperti ABPBH, malah kepada semua penyampai anugerah. 

“Adalah menjadi tanggungjawab setiap artis untuk memastikan tingkah laku mereka tidak mendatangkan persepsi negatif kepada acara yang dihadiri sekali gus boleh menjejaskan imej artis-artis lain serta industri hiburan secara am,” katanya. 

Menurutnya, Shaheizy sepatutnya bersikap lebih peka dan menghormati pihak penganjur, artis-artis lain dan industri hiburan serta penonton. 

“Tidak kira apa alasan yang diberikan, Shaheizy Sam yang pernah memenangi gelaran Bintang Paling Popular ABPBH sebanyak tiga kali (ABPBH 2010, ABPBH 2012 dan ABPBH 2014) dan juga sebagai seorang artis berpengalaman sepatutnya lebih peka dalam menghormati pihak penganjur, artis-artis lain dan industri hiburan serta penonton di rumah. 

“Pihak penganjur sudah bekerja keras untuk memastikan acara berjalan lancar serta mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang waktu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), malangnya insiden ini mencalarkan kredibiliti ABPBH 33. Perkara ini adalah amat dikesali pihak penganjur,” katanya. 

Gambar Sam yang berbaju Melayu serta bersamping dengan beberapa vape tergantung di lehernya ketika mengumumkan pemenang anugerah tular sejak malam tadi dan mengundang kritikan ramai.

Tindakan Sam yang juga suami kepada pelakon  Syatilla Melvin itu turut ditegur pengendali akaun Facebook Public Health Malaysia (PHM) yang mempersoalkan tanggungjawab pihak produksi tidak menyaring penampilan selebriti itu sebelum bersiaran langsung. 

PHM menyifatkan tindakan Shaheizy Sam telah mempromosikan penggunaan vape dalam kalangan masyarakat.  

Comments are closed.