Berita Hari Ini

Pertimbang Rujuk Agong Isytihar Darurat Di Bugaya, Gerik

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mempertimbang keperluan menasihati Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat bagi mengelak Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya dan Parlimen Gerik.

BH Online melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Takiyuddin Hassan, berkata keputusan itu akan dibuat selepas mendapat makluman dan nasihat terkini daripada Kementerian Kesihatan (KKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang akan membuat penilaian risiko penularan COVID-19 di dua kawasan terbabit.

“Tindakan sama dijangka diberi pertimbangan jika suasana (kes penularan) di Parlimen Gerik dan DUN Bugaya mempunyai risiko sama dengan PRK Batu Sapi apabila kerajaan merujuk kepada KKM dan MKN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa bagi portfolionya di Dewan Rakyat, hari ini.

Menyentuh peruntukan RM200 juta kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Takiyuddin berkata, ia berada di bawah Belanjawan 2021 bagi membolehkan agensi itu melaksana persediaan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak tahun depan.

“Peruntukan RM71 juta bagi SPR tahun ini dan dinaikkan kepada RM200 juta tahun depan adalah persiapan untuk kos pengendalian dan proses PRN Sarawak yang mana tempohnya akan berakhir Jun 2021.

“Mengenai norma baru dalam pilihan raya, SPR sudah mengenal pasti supaya petugas pilihan raya juga diberi perlindungan.

“Ia meliputi keperluan menambah peralatan pencegahan COVID-19 seperti pelitup muka, alat pengukur suhu, sanitasi dan sarung tangan ,” katanya.

Mengenai pendaftaran undi secara automatik 18 tahun, beliau berkata, ia beada dalam penelitian SPR dan agensi itu memberi jangkaan pelaksanaannya akan diadakan selewat-lewatnya Julai 2021.

Sementara itu, beliau berkata, seramai 10,284 pegawai kontrak berstatus perkhidmatan kontrak (COS) akan dilantik ke jawatan tetap bagi tempoh tahun ini sehingga 2031.

Sehingga kini, katanya, seramai 11,796 daripada keseluruhan 22,080 pegawai COS lantikan sebelum atau pada 23 Oktober 2015 sudah dilantik ke jawatan tetap.

“Ia dibuat secara berperingkat dan bakinya 10,284 pegawai COS akan dilantik secara tetap sepanjang tempoh 2020 hingga 2031,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");