Perak Hari Ini

PKPB: Solat Jumaat Dan Fardu Di Zon Hijau Dan Kuning Di Perak Ikut Had Kapasiti

IPOH: Pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardu di masjid dan surau dalam zon hijau dan kuning di Perak dibenarkan berasaskan had kapasiti keluasan sebenar ruang utama dewan solat dengan mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) yang menetapkan jarak satu meter di antara jemaah.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Shahrul Azam Shaari, berkata, keputusan berkenaan telah diperkenan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selepas menimbangkan sembah nasihat daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak, berpandukan garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau berkata, kehadiran menunaikan solat Jumaat dan solat fardu pada masa ini hanya dibenarkan kepada warganegara Malaysia sahaja dan ientiti setiap jemaah yang datang untuk bersolat hendaklah disemak dan direkodkan sebelum dibenarkan masuk ke ruang solat.

“Semua aktiviti keagamaan seperti ceramah, kuliah pengajian antara Maghrib dan Isyak serta selepas solat Subuh, kuliah Dhuha, bacaan Yaasin, tahlil doa selamat dan sebagainya dibenarkan.

“Pelaksanaan solat fardu lima waktu yang dilaksanakan secara berjemaah dan aktiviti keagamaan di seluruh masjid, surau diri Jumaat dan surau di negeri ini juga dibuka kepada muslimah di ruang khas yang disediakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, beliau berkata, pelaksanaan solat Jumaat di masjid dan surau di zon merah pula masih kekal iaitu digantikan dengan solat Zohor di rumah masing-masing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Solat berjemaah pada setiap solat fardu hanya boleh dilaksanakan oleh enam orang terdiri dari kalangan pegawai masjid dan ahli jawatankuasa kariah manakala semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau ditangguhkan,” katanya.

Beliau berkata, penggunaan masjid, surau diri Jumaat dan surau untuk ibadah solat dan aktiviti keagamaan hendaklah mematuhi sepenuhnya garis panduan dan prosedur yang telah ditetapkan oleh MKN dan KKM.

“Jawatankuasa kariah atau pegawai masjid hendaklah memberikan peringatan dan penerangan ringkas kepada jemaah untuk mematuhi garis panduan sebelum solat Jumaat, solat berjemaah pada setiap solat fardu dan aktiviti keagamaan dimulakan.

“Arahan dan ketetapan ini hendaklah terpakai dan berkuat kuasa serta-merta sehingga dikeluarkan apa-apa arahan baharu daripada MAIPk,”. Katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");