Berita Hari Ini

Bantuan kerajaan bernilai RM24 bilion manfaatkan lebih 1.4 juta PKS – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 9 Dis — Pelbagai bantuan sama ada bersifat bantuan langsung, pinjaman atau geran berjumlah lebih RM24 bilion telah memanfaatkan lebih 1.4 juta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan PKS mikro setakat 27 Nov, 2020, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, ada PKS dan PKS mikro yang menerima lebih daripada 1 manfaat atau bantuan kerajaan bergantung kepada kelayakan, katanya dalam laporan LAKSANA ke-32 bagi pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Kita Prihatin (KITA PRIHATIN) yang dikeluarkan hari ini.

Antara bantuan dan manfaat yang diterima termasuklah Dana Pinjaman Mudah PKS di bawah kendalian Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah RM11.13 bilion untuk 23,700 PKS, Program Subsidi Upah berjumlah RM9.89 bilion yang membantu hampir 300,000 PKS dan PKS Mikro serta 1.85 juta pekerja (tidak termasuk syarikat pertengahan atau besar) dan Geran Khas Prihatin 1.0 dan 2.0 berjumlah RM2.55 bilion bagi 850,000 PKS mikro.

Inisiatif lain termasuklah Inisiatif e-dagang PENJANA di bawah MDEC termasuk Shop Malaysia Online dan Micro and SMEs E-Commerce Campaign yang telah membantu lebih 21,000 usahawan PKS dan PKS mikro menjana jualan lebih RM1.2 bilion daripada suntikan RM140 juta.

Tengku Zafrul berkata agensi-agensi kerajaan akan terus memberikan kemudahan dari segi pinjaman mudah dan geran, termasuk melalui Belanjawan 2021.

“Kerajaan berharap kesemua sokongan yang diberikan ini akan membolehkan mereka berdaya saing dalam jangka masa sederhana dan panjang, beserta penerapan teknologi dan sistem operasi yang moden dan sesuai dalam norma baharu ini,” katanya sambil menambah kerajaan sentiasa memberi sokongan berterusan kepada PKS dan PKS mikro sejak dari pelaksanaan pakej PRIHATIN sehinggalah perangkaan Belanjawan 2021 baru-baru ini.

Setakat 27 Nov, 2020, sebanyak 5,301 permohonan telah diluluskan di bawah Pembiayaan PKS PENJANA dengan nilai pinjaman sebanyak RM1.09 bilion daripada 5,104 permohonan bernilai RM1.06 bilion yang diluluskan minggu lepas.

Kerajaan memperuntukkan dana berjumlah RM2 bilion dan memberi keutamaan kepada PKS yang belum pernah mendapat pinjaman daripada bank sebelum ini.

Sementara itu, sebanyak, RM227.5 juta dan RM94.8 juta telah disalurkan kepada 6,492 PKS mikro dalam bidang peruncitan dan perkhidmatan di bawah Pembiayaan Mikro Kredit PENJANA Bank Simpanan Nasional (BSN) dan 14,267 PKS mikro di bawah Skim Pemulihan Perniagaan TEKUN.

Selain itu, sebanyak 506 permohonan diterima bagi inisiatif Pembiayaan Sektor Pelancongan PENJANA dan daripada jumlah itu 229 permohonan dengan pembiayaan RM46.2 juta telah diluluskan.

“Dengan pembukaan semula rentas negeri, kemudahan ini dijangka dapat membantu PKS yang memerlukan suntikan dana dalam masa terdekat,” katanya.

Pembiayaan Sektor Pelancongan PENJANA diperkenalkan bertujuan untuk menyokong PKS dan PKS mikro tempatan dalam sektor pelancongan yang terkesan akibat COVID-19 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1 bilion.

Tengku Zafrul berkata lebih 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja menerima Program Subsidi Upah (PSU) di bawah PRIHATIN dan PENJANA.

Setakat 27 Nov, subsidi upah yang dibayar adalah sebanyak RM12.52 bilion (peningkatan daripada RM12.49 bilion minggu lalu).

Sementara itu, sejumlah RM239.73 juta dibelanjakan bagi membantu 39,203 majikan untuk meneruskan operasi dan mengekalkan 307,420 pekerja di bawah PSU KITA PRIHATIN 2.0 sejak 1 Okt.

Beliau berkata seramai 90,930 pekerja (peningkatan daripada 84,922 minggu lalu) telah berjaya mendapat pekerjaan melalui Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan sehingga 27 Nov.

Jumlah ini merangkumi 72,505 orang di bawah umur 40 tahun, 11,370 individu berusia di antara 40 hingga 60 tahun, serta 5,808 perantis dan 1,247 orang kurang upaya (OKU). Antara industri dan sektor utama yang mengambil pekerja termasuk pembuatan, perdagangan borong dan runcit, serta perkhidmatan lain.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");