Perak Hari Ini

PAS Perak Tunggu Arahan Pusat – Razman

IPOH – PAS Perak akan menunggu arahan dan keputusan lanjut PAS Pusat berkenaan pembentukan kerajaan negeri yang baharu susulan kemelut politik yang melanda negeri.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata, sehingga kini PAS kekal dengan keputusan awal iaitu mahu mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) Perak yang dibentuk sebelum ini.

Ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol itu, PAS turut masih mengekalkan hubungan antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

“Bagi PAS, kita setakat ini tunggu arahan dan keputusan pimpinan tertinggi untuk pembentukan kerajaan. Perkara ini melibatkan politik nasional.

“Sekarang ini Perak tiada kerajaan dan menunggu titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

“Sesiapa yang ada majoriti melantik kerajaan dan kita meneruskan kerja seperti biasa,” katanya ketika ditemui selepas turut serta di dalam sidang media Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Laman Seri Ridzuan, di sini hari ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada akan wujud gabungan baharu dalam pembentukan kerajaan Perak yang baharu nanti, Razman enggan mengulas lanjut.

Tegas beliau PAS kekal mempertahankan prinsip bahawa parti itu tidak akan bersama BERSATU sahaja tanpa UMNO mahupun tidak akan bersama UMNO sahaja tanpa BERSATU.

Sebelum ini media melaporkan Setiausaha Agung PAS Pusat, Datuk Takiyuddin Hassan berkata partinya tidak akan menyertai usaha pembentukan kerajaan Perak yang baharu susulan Ahmad Faizal Azumu gagal memperoleh sokongan majoriti dalam usul undi percaya terhadapnya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak semalam.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");