Berita Hari Ini

Rogol, cederakan orang, curi motor jenayah tertinggi pelajar sekolah di Johor

Mangsa jenayah melibatkan pelajar sekolah menengah di Johor paling tinggi adalah kes rogol, mencederakan orang, mencuri motosikal dan lain-lain kecurian.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pecah rumah dan samun juga kesalahan indeks jenayah tertinggi membabitkan pelajar sekolah menengah di negeri itu.

Menurutnya, 58 peratus pelajar perempuan paling banyak menjadi mangsa dalam indeks jenayah berbanding pelajar lelaki.

Dalam masa sama, jelasnya, 95 peratus pelaku jenayah dalam kalangan pelajar adalah lelaki berbanding lima peratus terdiri daripada pelajar perempuan.

“Hampir 99 peratus pelaku jenayah dan mangsa dalam kalangan pelajar sekolah adalah berusia lingkungan umur 13 hingga 18 tahun iaitu di peringkat sekolah menengah,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Modul Kesedaran Jenayah Kanak-kanak dan Remaja (MEKAR) PDRM Kontijen Johor bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Horizon Hill Golf and Country Club, di sini, hari ini.

Walaupun statistik tangkapan membabitkan pelajar sekolah dalam indeks jenayah menurun, beliau menyifatkan angka tersebut masih membimbangkan.

“Bagi tahun 2018, tangkapan membabitkan pelajar sekolah dalam indeks jenayah sebanyak 1,388 kes manakala 2019 mencatatkan 1,230 kes.

“Sementara itu, dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini sebanyak 538 kes dilaporkan,” katanya.

Memiliki dadah

Bagi pembabitan pelajar dalam kes narkotik pula, Ayob Khan memberitahu sebanyak 38 kes dilaporkan dan ia membabitkan 67 pelajar pada tahun 2018.

Tahun lalu pula sejumlah 33 kes melibatkan 43 pelajar manakala dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, terdapat 30 kes dengan menyaksikan 36 pelajar telah terjebak.

Jelasnya, semua kes jenayah narkotik yang dilakukan pelajar sekolah menengah melibatkan kesalahan memiliki dadah, memasukkan dadah ke dalam badan dan penyalahgunaan ketum.

“Walaupun bilangan kes membabitkan pelajar bagi kes narkotik dalam tempoh tiga tahun menurun, langkah pencegahan perlu diambil supaya pembabitan pelajar dalam kes jenayah dapat ditangani”, katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata modul interaktif MEKAR dilancarkan bagi memastikan generasi mudamendapat kesedaran awal dan mencegah dari terlibat dengan kegiatan jenayah.

MEKAR adalah modul yang dibangunkan mengikut tahap usia pelajar dari sekolah kebangsaan, sekolah menengah dan Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Menurutnya, modul tersebut mempunyai tiga fokus besar iaitu modul narkotik, modul gangguan seksual dan modul jenayah sosial.

“Kaedah penyampaian modul ini bersasar mengikut golongan sasaran. Bermaksud teknik penyampaian, elemen komunikasi, aktiviti serta pembawakan modul adalah berbeza.

“Ia akan diedarkan di 1,374 sekolah dan IPT seluruh negeri ini dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri.

“Selain memberi kesedaran awal terhadap bahaya jenayah, modul itu juga akan mengesan kelompok pelajar bermasalah yang akan dipantau oleh Pegawai Perhubungan Sekolah,” tambahnya lagi.-MalaysiaDateline

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");