Perak Hari Ini

Sudah Lama Sedar Rasa Tidak Puas Hati UMNO Terhadap BERSATU Di Perak- Hafez Mubin

IPOH – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Perak mendakwa sudah lama menyedari wujud perasaan tidak puas hati dalam kalangan pimpinan UMNO Negeri walaupun bersama dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) di negeri ini.

Timbalan Ketua BERSATU Bahagian Tambun, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh berkata Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad pernah mengeluarkan kenyataan mencadangkan agar BERSATU dibubarkan.

“Saya bingung memikirkan pada waktu itu, bagaimana seorang EXCO Kanan Kerajaan Negeri kepada Menteri Besar yang juga Pengerusi BERSATU Perak, boleh menzahirkan cadangan sebegitu. 

“Tidak ada sedikitkah rasa untuk menjaga hubungan dengan kami yang menghulurkan tangan untuk bersama-sama menubuhkan kerajaan.

“Namun apabila mengenangkan hubungan yang terbina antara BERSATU-UMNO masih di peringkat awal ketika itu, dilupakan sahaja perkara itu sebegitu sahaja tanpa mengesyaki apa-apa sambil mengharapkan hubungan ini akan semakin pulih dan bertambah erat,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau, hari ini.

Selain itu, beliau yang juga Bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU Perak turut menyebut insiden ‘diboo’ oleh Pemuda UMNO sewaktu menghadiri Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya Barisan Nasional (BN) di Pilihanraya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri  (DUN) Slim yang lalu.

Katanya beliau tidak terlalu memikirkan perkara itu demi memelihara hubungan antara parti-parti Melayu yang dipercayai dimaksudkan UMNO, BERSATU dan PAS.

“Namun malangnya, sudah terlewat untuk menyedari bahawa begitu berlawanan tujuan dan nilai persahabatan ini pada mereka.

“Rupa-rupanya begitu kecil nilai kita pada pandangan mereka sehinggakan Timbalan Presiden kita diperlakukan sebegitu rupa,” katanya yang merujuk kepada kegagalan usul undi percaya terhadap bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada Jumaat lalu.

Dalam pada itu, Mohd Hafez menafikan dakwaan Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini menyebut Ahmad Faizal sebagai individu yang tamak kuasa kerana meninggalkan gabungan itu dan menyertai Perikatan Nasional (PN).

Bekas Pegawai Khas Kanan Menteri Besar Perak itu berkata keputusan Ahmad Faizal itu tepat dan perlu dilakukan berdasarkan pengalaman BERSATU bersama PH Perak selama ini.

Walau tidak mengulas lanjut, Mohd Hafez meninggalkan pautan portal berita ‘DAP Tetap Mahu Kerajaan Perak Lulus Hak Milik Tanah 999 Tahun’ pada hantarannya.

“BERSATU  dahulu dilabel ‘pengkhianat mandat rakyat’ kerana bersama UMNO dan PAS untuk membentuk kerajaan Perikatan Nasional.

“Sekadar bertanya pada rakan-rakan lama yang setia bersama PH, kesediaan PH Perak untuk bekerjasama dengan UMNO membentuk kerajaan bukan satu pengkhianatan mandat rakyat kah?,” tulisnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");