Perak Hari Ini

Tiada Parti Politik Mempunyai Majoriti Mudah Bentuk Kerajaan Di Perak

IPOH – Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah masih belum diyakinkan mana-mana parti politik berkenaan bilangan majoriti mudah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk membentuk sebuah kerajaan negeri, kata Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini.

“Baginda masih belum diyakinkan mana-mana pihak yang mempunyai majoriti mudah. Maka sehingga ia diperkenankan yang Baginda yakin sudah ada majoriti mudah, barulah istiadat angkat sumpah jawatan boleh dilaksanakan.

“Oleh kerana Baginda belum diyakinkan oleh mana-mana pihak, kita tunggu sehingga mereka bersedia dengan meyakinkan Sultan Perak,” katanya ketika ditemui pemberita di luar perkarangan Istana Kinta, di sini, hari ini.

Dalam pada itu beliau turut mengesahkan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim telah menghadap Sultan Perak, hari ini.

“Saya tidak tahu beliau datang atas kapasiti apa. Tetapi beliau memang ada menghadap Baginda Sultan,” jelasnya ringkas.

Sebuah agensi berita melaporkan Hasnul telah dipanggil menghadap seorang dan tidak menerima arahan mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) selain ia turut dilaporkan mempunyai kaitan dengan pelantikan Menteri Besar Perak yang baharu.

Dalam perkembangan sama, Mohd Annuar berkata Sultan Nazrin telah memperkenankan bagi tiga pemimpin Pakatan Harapan (PH) untuk menghadap Baginda bagi menyembah maklum berkenaan situasi rundingan parti itu susulan perkembangan politik terkini di negeri ini.

Mereka adalah, Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, Pengerusi DAP Perak, Nga Koh Meng serta Pengerusi Parti Amanah (Amanah) Perak, Datuk Asmuni Awi

Katanya selepas itu, Baginda turut menitahkan agar Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad bagi menyembah maklum berkenaan status rundingan politik terkini parti tersebut.

“Saarani memohon menghadap bersama Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Baginda memperkenankan.

“Jadi untuk hari ini sesi menghadap telah selesai. Esok juga tiada. Setakat ini masih belum ada mana-mana pihak yang memohon untuk menghadap esok,” jelas beliau lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");